Oleh Ku Mohd Lufti
Kejayaan Khairul Hafiz Jantan memecahkan rekod dalam acara 100 Meter yang bertahan selama 18 tahun nyata memberi tuah.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), menerusi presidennya, Datuk Karim Ibrahim mengumumkan ganjaran sebanyak RM 10 000 buat atlet Melaka itu.
“Catatan masa Khairul bukan sekadar hanya memecahkan rekod selama 18 tahun tapi masa catatan itu telah membuka mata ramai pihak yang tidak menduga Malaysia mampu melahirkan pelari pecut yang berpotensi tinggi sepertinya,” kata Datuk Karim.
Namun beliau menyatakan kejayaan Khairul tidak memberinya peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio kerana pendaftaran atlet untuk ke Sukan Olimpik telahpun tamat.
Bagi memastikan permata baru olahraga ini tidak disia siakan, KOM akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk merancang satu program jangka masa panjang buat Khairul serta jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim.
Antara perancangan yang difikirkan adalah menghantar ke luar negara untuk mnjalani latihan sebagai salah satu persiapan untuk temasya Sukan SEA 2017 nanti.
Malah, Datuk Karim juga sudah berbincang dengan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), untuk menyenaraikan Khairul di kejohanan olahraga Grand Prix IAAF kerana masa catatannya sudah mencapai had kelayakan menyertai kejohanan itu.
Katanya, Khairul Hafiz juga akan menyertai kejohanan Olahraga Dalam Dewan mulai tahun hadapan.
Khairul Hafiz memadamkan rekod kebangsaan berusia 18 tahun yang dipegang Watson Nyambek dalam acara 100 Meter di  SUKMA 2016  dengan catatan 10.18 saat, berbanding rekod lama 10.30 saat.