rio

Oleh Muhammad Aiman

Debaran semakin terasa tatkala ramai yang tidak sabar menanti sandaran utama pingat emas negara, Dato’ Lee Chong Wei untuk turun beraksi, selepas Sukan Olimpik Rio De Janeiro membuka tirainya secara rasmi lima hari yang lalu.

Tahun 2016 disebut-sebut sebagai peluang terbaik buat Chong Wei untuk mengakhiri penantian Malaysia untuk mengucup emas pertama di temasya sukan terbesar dunia itu.  

Keinginan tinggi untuk menebus kecewa dua kali di pentas final olimpik, serta keghairahan mahu menyambar emas pertama negara di temasya sukan terbesar dunia itu, yang juga akan menjadi penamat karier paling gemilang, sudah tentunya menjadikan Chong Wei dalam tahap persiapan terbaik untuk turun ke gelanggang kali ini.

Namun dalam masa sama, tidak dinafikan ianya turut hadir sebagai tekanan buat jaguh badminton dunia itu sama ada untuk memenuhi keinginan, mahupun keghairahan. 

Begitupun, jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock percaya Chong Wei sudah berada pada peringkat yang mana dia tidak mudah tergugat dengan sebarang tekanan dan berada dalam keadaan bersedia untuk berdepan sebarang cabaran yang mendatang.

“Saya yakin dia lebih matang dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika berdepan saat sebegini. Semangatnya kuat, dan tahap keyakinannya juga cukup tinggi. Apa yang penting adalah dia tahu bagaimana mahu menangani tekanan pada hari pertandingan.

“Dia sudah masak dengan semua perkara ini, dan tidak akan mudah tergugat kerana bukan hari ini atau semalam dia mula bermain badminton di pentas antarabangsa,” ujar Seu Bock.

Dalam dua edisi terdahulu di Beijing 2008 dan London 2012, pemain nombor satu dunia itu sekadar berpuas hati dengan pingat perak, tewas di final – kedua-duanya kepada seteru utama, Lin Dan dan untuk edisi kali ini, dia dijangka memperbaharui permusuhannya dengan jagoan China itu, di peringkat separuh akhir.

Chong Wei yang bakal turun selaku pemain pilihan utama, akan memulakan cabaran peringkat kumpulan dengan menentang Soren Opti dari Surinam pada Khamis, 11 Ogos dan kemudiannya menentang Derek Wong pada Ahad.

- Advertisement -