Oleh Muhammad Aiman
Jika sekadar mahu buat yang terbaik, tidak perlu beraksi sehingga ke pentas Olimpik, mungkin itu maksud cuba disampaikan bekas pelumba trek Olimpik negara, Josiah Ng yang mahu setiap atlet menghargai peluang beraksi di Sukan Olimpik seterusnya menterjemahkan satu prestasi luar biasa berbanding kebiasaan.
âKita pergi ke mana-mana kejohanan memang mahu melakukan yang terbaik, buat yang terbaik adalah apa yang kita tampilkan di setiap kejohanan. Jadi apabila beraksi di pentas Olimpik, kita perlu tekad melakukan sesuatu lebih baik dari yang terbaik, sesuatu yang luar biasa.
âOlimpik tidak dipanggil temasya sukan terbesar dunia tanpa sebab, ia temasya terulung. Hargai peluang itu, jadi buat sesuatu yang luar dari kebiasaan dan bawa pulang satu pencapaian yang tidak mungkin anda lupakan dalam hidup,â ujar Josiah.
Mental yang tidak begitu kuat dikaitkan sebagai faktor utama ramai atlet Malaysia gagal memenuhi potensi dan menyerlah di kejohanan-kejohanan besar, di sebalik persiapan yang begitu hebat dan gah.
Contoh terdekat, adalah atlet renang Phee Jinq En dan atlet menembak Johnathan Wong yang jelas tenggelam dalam keterujaan beraksi di Rio, sehingga langsung tidak menghampiri prestasi terbaik mereka.
Justeru Josiah berkata, âAtlet perlu membuang jauh segala keraguan tentang keupayaan diri dari minda mereka. Olimpik adalah satu pengalaman yang mungkin hadir sekali sahaja seumur hidup, ia adalah apa yang anda impikan sebagai seorang atlet. Hayati saat itu, dan ketika itu sesuatu yang luar biasa akan menguasai minda, fizikal dan roh anda.âÂ
Josiah mengakui layak ke Rio secara merit itu sendiri merupakan satu pencapaian yang membanggakan namun menurutnya tidak ramai atlet mengambil inisiatif untuk mengenal pasti kelemahan diri dan dapatkan bantuan untuk memperbaikinya, sebaliknya kekal pada mentaliti sama dengan tanggapan memang itu sahajalah kemampuan terbaik mereka.Â
âIni memberikan tekanan kepada diri mereka sendiri, dan menyebabkan rasa ragu terhadap diri menyekat keinginan mereka untuk lebih menyerlah. Saya percaya Ussain Bolt dan Michael Phelps juga mempunyai keraguan terhadap diri, tetapi perkara pokok adalah apa yang mereka lakukan untuk atasinya.
âBolt sudah tentunya mempunyai tekanan dan ekspetasi yang sangat-sangat tinggi, namun dia tetap berjaya atasinya dan meraikan setiap saat seolah tiada apa yang menganggu fikirannya. Kemudian, apabila perlu, dia keluarkan âtaringnyaâ dan tonjolkan satu perlumbaan luar biasa.
âKeraguan terhadap diri itu normal, ia akan berlaku. Perlu diingat lawan anda juga mungkin akan melalui proses sama, kembali fokus terhadap setiap apa yang terbaik telah anda lakukan sebelum ini dan ini membantu persediaan mental yang baik.â
Josiah turut menjelaskan bahawa ianya adalah sesuatu yang biasa untuk seseorang atlet itu rasa lebih-teruja beraksi di pentas sukan terbesar seperti olimpik.
âSaya masih ingat bagaimana perasaannya berjalan di sekeliling atlet-atlet tebaik dunia, dengan semua bintang-bintang sukan berdiri dalam satu baris sama di perkampungan sukan.
âSaya juga masih ingat duduk makan di sebelah Novak Djokovic (pemain tenis) malah sempat bergurau dengannya. Saya masih ingat saya berdiri di belakang beberapa lelaki terpantas dunia di medan selera, cuba mengenali dan mengkaji fizikal mantap mereka dan apa yang saya dapati adalah semua apa yang ada di atas dulang makanan mereka adalah McDonalds.
âIni adalah antara memori yang akan saya ingat sampai akhir hayat. Lupakan segala masalah dan tekanan yang menghalang anda dari melakukan yang terbaik,â kata finalis Keirin Olimpik Athens 2004 itu.