Oleh Muhammad Aiman
Cabaran pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei di pertandingan badminton Sukan Olimpik Rio De Janeiro tersekat di suku akhir setelah tunduk kepada pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Ayaka Takahashi-Misaki Matsutomo.
Ia adalah kekalahan kelapan Vivian-Khe Wei dalam lapan pertembungan menentang gandingan juara All England itu namun mereka tidak menyerah dengan mudah, sebaliknya memberi tentangan dengan mengheret Ayaka dan Misaki beraksi di set penentuan sebelum tunduk 16-21, 21-18 dan 9-21 di Pavilion 4, Rocentrio.
Vivian dan Khe Wei sememangnya tidak diletakkan harapan tinggi untuk melakar kejutan, apatah lagi mereka turun berdepan gandingan negara matahari terbit itu yang sedang meniti kemuncak prestasi setelah menjulang lima kejuaraan bagi tahun 2016.
Untuk rekod, Vivian dan Khe Wei mara ke suku akhir setelah menamatkan aksi peringkat kumpulan selaku naib juara, tewas kepada pasangan Indonesia Nitya Krishinda dan Greysia Polii dalam perlawanan terakhir.
Tersingkirnya mereka bermakna tinggal tiga lagi wakil negara iaitu Dato’ Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk meneruskan cabaran negara dalam pertandingan badminton.
Terdahulu, Peng Soon dan Liu Ying beraksi garang menundukkan gandingan Poland, Robert Mateusiak-Nadia Zieba sekaligus mencatat sejarah muncul pasangan beregu campuran pertama negara mara ke separuh akhir temasya Olimpik.
Mereka akan menentang Xu Chen-Ma Jin dari China jam 5.45 pagi Selasa (16 Ogos) di separuh akhir dalam misi mencari tiket beraksi di final seterusnya melakar satu lagi sejarah buat Malaysia dan memastikan setidak-tidaknya pingat perak berada dalam genggaman.