Jan O Jorgensen
Jan O Jorgensen

Oleh Muhammad Aiman

Pemain India, Srikanth Kidambi melakar kejutan dalam acara perseorangan lelaki badminton Sukan Olimpik Rio De Janeiro, apabila menyingkirkan pemain pilihan kelima, Jan O Jorgensen dari Denmark dalam aksi pusingan kedua seterusnya menempah pertemuan menentang penyandang juara, Lin Dan di suku akhir.

Dalam aksi sengit di Pavilion 4, Rocentrio, Srikanth menampilkan permainan bertenaga untuk bangkit dari ketinggalan 14-17 di set kedua dan mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-19 ke atas Jorgensen yang jelas dilihat tenggelam dalam tekanan ciptaan sendiri.

Dan melihat kepada kekuatan mental serta keyakinan tinggi ditunjukkan Srikanth, mungkin juga menghadirkan sedikit kerisauan buat Lin Dan yang tewas dalam perlawanan terakhir menentang pemain di kedudukan nombor sebelas dunia itu.

Tidak mustahil, andai Srikanth mampu mengulangi prestasi sama ketika menentang Lin Dan, dia mampu membuatkan juara Beijing 2008 dan London 2012 itu menggigit jari dan kempunan mengulangi pertemuan menentang Dato’ Lee Chong Wei buat kali ketiga di pentas olimpik.

Bagi India, kemenangan Srikanth hadir sebagai penawar duka terbaik buat mereka setelah sandaran pingat menerusi acara perseorangan wanita, Saina Nehwal tersingkir mengejut dari saingan peringkat kumpulan setelah kecundang kepada Marija Ulitina dari Ukraine.

Pemain berusia 26 tahun itu dilihat bergelut dengan kecederaan dan gagal menyerlahkan prestasi terbaiknya di sebalik hadir ke Rio dengan harapan besar.

- Advertisement -