Oleh Muhammad Aiman
Selangor mungkin menunjukkan sedikit peningkatan di bawah kendalian jurulatih sementara, K. Gunalan dengan mencatat dua kemenangan dan satu seri dalam tiga aksi selepas Zainal Abidin Hassan dipecat, namun keputusan itu pastinya diakui belum cukup untuk membuatkan Red Giants menarik nafas lega.
Tatkala dua kemenangan dalam saingan Piala Malaysia ke atas Pahang dan Kelantan menghadiahkan tiket ke suku akhir buat skuad juara bertahan itu, keputusan seri menentang Terengganu pada Selasa lalu dalam saingan Liga Super menyaksikan Selangor kini mengharungi lima perlawanan liga tanpa kemenangan.
Menjadikan situasi lebih teruk, satu mata yang diraih itu tidak memadai untuk mereka mempertahankan kedudukan tempat ketiga, tergelincir satu anak tangga setelah dipintas Kedah yang memanfaatkan sebaiknya kemerosotan prestasi dialami juara 2010 itu.
Kedudukan di tempat keempat juga belum selamat, mungkin boleh tergugat pada bila-bila masa memandangkan Kelantan hanya ketinggalan tiga mata sahaja di belakang mereka dan berada pada tahap keyakinan tinggi sejak dibimbing Velizar Popov.
âMisi kita adalah tiga teratas, ia satu cabaran besar buat saya. Kita ketinggalan satu mata di belakang Kedah dan perlu bangkit pada empat perlawanan terakhir. Saya akan buat beberapa perubahan dan yakin pemain-pemain akan bekerja keras untuk meraih semaksima mungkin mata dan capai sasaran ini,â ujar Gunalan.
Sebelum Gunalan mengambil alih pasukan, Selangor mengalami empat kekalahan berturut-turut kepada Felda United, Pahang, T-Team dan Kedah yang mendorong Persatuan Bolasepak Selangor mengambil tindakan drastik memecat Zainal tanpa sebarang amaran awal.
Baki aksi Red Giants selepas ini adalah menentang Sarawak di Kuching pada Rabu depan, diikuti tiga perlawanan terakhir di gelanggang sendiri iaitu menentang Pahang (10 September), Perak (24 September) dan JDT (22 Oktober).Â
Manakala pada Sabtu ini, Selangor akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia dengan menentang Kuala Lumpur. Kemenangan akan menyaksikan Selangor yang bergelar juara buat kali ke-33 tahun lalu dengan menewaskan Kedah 2-0, muncul selaku juara Kumpulan B.