Oleh Muhammad Aiman
Bergelar jagoan badminton dunia selama hampir sedekad, pelbagai kejuaraan pernah digenggam Dato’ Lee Chong Wei, malah kedudukan nombor satu dunia ibarat sudah cukup sinonim dengan pemain yang disifatkan atlet paling berjaya dalam sejarah sukan tanah air itu.
Namun, mungkin tidak ramai yang tahu, selain pingat emas Olimpik yang gagal dimilikinya meskipun tiga kali mara ke pentas final, Chong Wei juga tidak pernah menang emas Sukan Asia, dan tidak pernah merasai nikmat bergelar juara dunia – sekadar bergelar naib juara empat kali berturut-turut pada 2011, 2013, 2014 dan 2015.
Lebih malang, gelaran naib juara Kejohanan Dunia yang diraihnya di Copenhagen 2014 pernah ditarik balik kerana pada ketika itulah dia didapati gagal ujian doping yang seterusnya membawa kepada penggantungan lapan bulan – detik hitam dalam karier bergemerlapannya.
Dengan kariernya kini sudah semakin hampir ke penghujung – mungkin satu atau dua tahun lagi – Chong Wei mahu mengetepikan segala episod kecewa di Rio De Janeiro dan mensasarkan satu kejayaan besar ‘terakhir’ sebelum menggantung raket.
“Saya telah melakukan sebaik yang saya terdaya di Rio, dan tipulah kalau saya cakap saya tidak kecewa. Ianya sangat mengecewakan untuk gagal buat kali ketiga tetapi kini saya tidak mahu memikirkannya lagi dan hanya mahu berehat.
“Fokus saya selepas ini masih lagi pada Kejohanan Dunia Glasgow 2017, saya anggap itu sebagai peluang terakhir saya sebelum ucap selamat tinggal dan kalau ketika itu saya masih boleh bermain, melompat dan berlari, saya memang mahu cuba menangi kejuaraan dunia itu,” ujarnya.
Untuk rekod, Chong Wei muncul naib juara 2011, 2013 dan 2014 ketiga-tiganya tewas kepada seteru utama Lin Dan manakala pada 2015 dia tewas kepada Chen Long.
Sementara itu, mengenai peluang Malaysia di Tokyo 2020, Chong Wei berpendapat pemain nombor dua kebangsaan Iskandar Zulkarnain adalah taruhan terbaik untuk membawa pulang emas.
“Walaupun saya tiada di Tokyo 2020, saya memang berharap Malaysia akan akhirnya menang emas. Iskandar adalah rakan ‘sparring’ saya di Rio dan dia banyak membantu saya di sana. Walaupun tidak beraksi di Olimpik, saya percaya dia mempelajari sesuatu dan sudah merasai bagaimana tekanan dan suasana Olimpik. Pengalaman di Rio sudah pastina akan menjadikan dia pemain lebih baik.”