Oleh Muhammad Aiman
Ratu skuash negara, Dato’ Nicol David berdepan detik cemas sebelum mencatat kemenangan ke atas pemain bukan pilihan dari Wales, Tesni Evans dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Skuash Terbuka Hong Kong, pada Rabu.
Pemain nombor tiga dunia itu diramal tidak akan berdepan masalah mencatat kemenangan mudah ke atas Tesni yang layak dari pusingan kelayakan namun jangkaan itu meleset apabila Tesni memaksa Nicol bekerja keras melakar kemenangan dalam pertarungan lima set.
Nicol yang merupakan juara 10 kali berturut-turut kejohanan ini sejak 2006 mengambil masa 68 minit sebelum menang 11-8, 8-11, 11-4, 5-11 dan 11-5 seterusnya menempah pertemuan menentang pemain veteran New Zealand, Joelle King di pusingan kedua.
Joelle, pemain nombor sembilan dunia itu meneruskan kemaraan selepas mudah mengetepikan Nicolette Fernandes dari Guyana 11-5, 11-5 dan 11-8.
Sementara itu dalam aksi pembukaan pusingan pertama, seorang lagi wakil negara Low Wee Wern ditunjukkan jalan keluar setelah tewas kepada pemain nombor sebelas dunia dari England, Alison Waters 5-11, 7-11 dan 8-11.
Cabaran Malaysia dalam kategori lelaki juga berakhir setelah tersingkirnya Nafiizwan Adnan yang tewas 5-11, 8-11 dan 7-11 kepada pemain Mesir, Mazen Hesham.