peng.soon-liu.ying.3

Oleh Ku Mohd Lufti

Persatuan Badminton Malaysia, BAM dilihat mempunyai sistem latihan yang lebih sistematik berbanding sebelum ini dan ia perlu dinilai oleh kesemua pemain pemain badminton negara, samada bernaung dibawah persatuan atau bergerak secara professional.

Itu ulasan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap sukan badminton di sukan Olimpik Rio yang berjaya membawa pulang tiga pingat perak.

Malah, BAM diletakkan misi untuk menggapai emas di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun nanti.

Namun kontinjen badminton negara yang diketuai Datuk Lee Chong Wei membawa pulang tiga pingat perak menerusi perseorangan lelaki, bergu lelaki dan bergu campuran.

“Saya percaya BAM mempunyai pelan jangka masa panjang yang sedang dilaksanakan. Ketika MSN dengan kerjasama BAM melantik Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal BAM), KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dia adalah memenangi emas di Tokyo.

“Namun, pemain mendahului KPI berkenaan dengan hampir membawa pulang emas pertama di Rio kali ini yang menyaksikan kita mempunyai tiga wakil (perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran) di pentas final.” Kata Khairy Jamaluddin.

Justeru, beliau mensasarkan sekurang kurangnya dua wakil negara beraksi di setiap acara dan berada di kelompok 20 terbaik dunia.

Dalam pada itu, Khairy mengharapkan bekas Juara Remaja Dunia 2011 Zulfadli Zulkifli untuk menyertai BAM kerana beliau dilihat sebagai salah satu potensi untuk menggalas tugas dalam perseorangan lelaki selain ISkandar Zulkarnain Zainuddin.

Khairy juga mengharapkan Zulfadli tidak lagi merasa sangsi terhadap sistem latihan dan program jangka panjang BAM.

“Saya secara peribadi menyeru pemain hebat yang berada di luar untuk menyertai BAM. Pemain seperti Zulfadli, jika dia mahu merasai pengalaman beraksi di Olimpik, dia perlu menjadi sebahagian daripada BAM.

“Sekarang, program dalam BAM lebih sistematik dengan tahap kecergasan menjadi perkara paling utama untuk semua pemain.

“Saya difahamkan, bermula sekarang, pemain yang tidak melepasi ujian kecergasan tidak akan dihantar bertanding di kejohanan antarabangsa,” kata Khairy lagi.

Zulfadli sebelum ini sudah beberapa kali dipanggil untuk menyertai BAM, namun pemain itu kekal dengan pendirian untuk bergerak secara profesional dan meneruskan program latihan dengan bapa yang juga jurulatihnya, Zulkifli Sidek.

- Advertisement -