KL PENANG 6-4

Oleh Muhammad Aiman

Kuala Lumpur ‘A’ muncul pasukan pertama melangkah ke separuh akhir Kejohanan Floorball Piala Merdeka edisi kelima setelah mengejutkan juara bertahan Pulau Pinang 6-4 dalam aksi kedua di Stadium Titiwangsa pada Khamis.

Setelah cemerlang menewaskan Negeri Sembilan 6-1 dalam aksi pembukaan pada Rabu, KL ‘A’ yang meletakkan sasaran muncul juara buat pertama kali tahun ini nyata tidak rela mengendurkan momentum mereka dan tampil dengan satu lagi aksi bertenaga untuk mengecewakan Pulau Pinang.

Kekalahan buat Pulau Pinang bermakna mereka perlu menunggu sehingga aksi terakhir menentang Johor untuk menentukan satu lagi slot ke separuh akhir dari Kumpulan A.

Dalam aksi terdahulu Johor yang tewas 2-9 kepada Pulau Pinang pada hari pertama menjadikan Negeri Sembilan mangsa kebangkitan apabila beraksi garang mencatat kemenangan besar 13-1.

Manakala dalam aksi Kumpulan B, Sabah mencatat kemenangan pertama setelah menundukkan Perak 5-4 dan Selangor pula mencatat keputusan seri kedua setelah diikat KL ‘B’ 1-1 sekaligus menyaksikan kesemua empat pasukan masih berpeluang untuk merebut tempat ke separuh akhir.

Pada aksi terakhir kumpulan yang akan berlangsung Jumaat, Sabah akan berdepan KL ‘B’ manakala Selangor akan menentang Perak. 

Sementara itu bagi aksi kategori wanita, juara bertahan Pulau Pinang mengesahkan tempat ke separuh akhir setelah merakam kemenangan kedua dengan menewaskan Selangor 6-2 dalam aksi Kumpulan A.

Johor pula mencatat kemenangan bergaya dalam aksi Kumpulan B setelah menundukkan satu lagi wakil tuan rumah KL ‘B’ 12-0.

Selangor akan berdepan KL ‘A’ (Kumpulan A) manakala Sabah akan berdepan KL ‘B’ (Kumpulan B) untuk mengisi baki tiga slot separuh akhir pada Jumaat.

- Advertisement -