Oleh Ku Mohd Lufti
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun RAzak mengingatkan kepada atlet paralimpik Negara di Rio, mereka bukan berjuang berseorangan.
Meskipun Bandar Rio jauh beribu batu dari Malaysia, sokongan daripada rakyat Malaysia terhadap atlet paralimpik Negara yang akan beraksi tetap sama hangatnya seperti Olimpik Rio.
“Mari semua rakyat Malaysia kita berikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada atlet-atlet luar biasa kita yang akan mengerah tenaga dengan impian untuk mendengar Negaraku berkumandang di bumi Rio di bawah kibaran Jalur Gemilang.
“Kepada para atlet Paralimpik negara, saya yakin dan percaya, kesemua anda akan berusaha sehabis baik untuk menjulang nama negara,” ” katanya dalam catatan terbaharu di laman blog www.najibrazak.com.
Malah, Datuk Seri Najib menambah, mereka juga merupakan wira dan wirawati Malaysia.
“Ada pingat atau tanpa pingat, kesemua anda adalah kebanggaan negara sebelum bertolak pergi, dan anda semua akan pulang sebagai wira dan wirawati, itu pasti,” katanya.
21 atlet Negara bakal berjuang di Sukan Paralimpik Rio 2016 bermula 7 hingga 18 September di sekitar Bandar Rio de Janeiro.
Kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara olahraga, ping pong, pelayaran, powerlifting, berbasikal, renang, memanah dan tenis berkerusi roda.