indomas

Oleh Muhammad Aiman

Kekalahan 0-3 kepada Indonesia, jelas satu lagi tamparan hebat buat Dato’ Ong Kim Swee tatkala dia sedang berperang dengan masa untuk menyiapkan sebuah skuad mantap bagi mencabar kejuaraan Piala AFF Suzuki 2016 yang akan berlangsung pada November.

Dalam aksi yang menampakkan kepincangan Malaysia dalam hampir semua aspek, Indonesia hanya memerlukan 21 minit untuk meraih kemenangan menerusi dua jaringan kapten pasukan Boaz Salossa dan satu jaringan Irfan Bachdim.

Ini adalah aksi pertama Malaysia selepas kehilangan khidmat empat pemain tonggak, dan aksi pertama Indonesia selepas kembali dari penggantungan satu tahun dari sebarang aksi antarabangsa oleh badan induk bolasepak dunia, FIFA yang berakhir Mei lalu.

Sejurus selepas tewas, Kim Swee dengan lantang menyuarakan faktor tiada keserasian, kehilangan pemain tonggak, kesilapan yang tidak sepatutnya oleh pemain pertahanan dan perubahan besar pada skuad sebagai punca utama satu lagi kekalahan besar pasukan negara di pentas antarabangsa.

Ironinya, kekalahan ini hadir beberapa hari selepas genapnya setahun Malaysia dibelasah 0-10 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 pada 3 September tahun lalu.

Dalam tempoh setahun, 12 bulan, 365 hari, apa yang berubah? Mengecewakan, cukup memalukan untuk diakui selain Dollah Salleh, barisan pembantunya, dan beberapa pemain yang memilih meninggalkan pasukan, bolasepak Malaysia secara keseluruhannya langsung tidak menampakkan sebarang perubahan.

Sebaliknya, kita terus menjunam dan berterusan menyajikan alasan kehilangan pemain tonggak, tiada keserasian, tidak cukup masa untuk kem latihan pusat, pemain kurang pengalaman, pemain kepenatan, kesilapan bodoh dan pelbagai lagi untuk menutup hakikat sebenar bahawa kita sememangnya tidak cukup bagus.

Jangan salahkan penyokong jika ada di antara mereka yang marah, kecewa dengan apa yang anda sajikan pada hari ini. Mereka ada hak untuk berasa sedemikian, berapa lama lagi penyokong akan diminta untuk terus menaruh keyakinan dan bersikap optimistik dengan peningkatan yang tidak pernah kunjung tiba?

Semangat dan kesungguhan tampak sudah hilang dalam diri pemain, bermain demi lencana di dada kini menjadi laungan kosong semata-mata, cukup-cukuplah memalukan nama negara jika tiada jiwa untuk menabur khidmat sepenuh hati.

Usah terus berbangga dengan apa yang telah dicapai, pingat emas Sukan SEA dan kejuaraan Piala AFF Suzuki bukanlah sesuatu yang besar untuk dibanggakan sebaliknya jadilah seperti Bastian Schweinsteiger atau Robbie Keane, menangislah kerana sepanjang diberi penghormatan menyarung jersi negara, anda telah gagal mencapai puncak kemasyuran bergelar pemain bolasepak.

Kim Swee pula, seeloknya bertanya kepada diri sendiri, atas dasar apa deretan pemain dari pasukan bergelut di zon penyingkiran lebih menjadi pilihan berbanding pemain dari pasukan yang sedang meniti prestasi lebih baik.

Adakah dia memilih pemain berdasarkan prestasi semasa atau mengharapkan reputasi besar semata-mata sepertimana dia sedang merayu empat pemain yang sudah meninggalkan skuad negara supaya kembali?

Dan adakah pengalaman antarabangsa suatu kriteria yang benar-benar penting, jika tiada pengalaman maka siapa pula yang akan ‘memberi’ pengalaman antarabangsa itu kepada pemain-pemain muda yang belum pernah mewakili negara?

Jika Roy Hodgson berfikiran sama, maka Marcus Rashford tidak akan membuat penampilan di Euro 2016 baru-baru ini, jika Luiz Felipe Scolari tidak menghadiahkan kap antarabangsa pertama kepada Cristiano Ronaldo pada usia 18 tahun maka dunia tidak pernah akan dapat menyaksikan kelibat pemain terbaik dunia itu di pentas antarabangsa.

Berubahlah, ubahlah pendekatan, ubahlah mentaliti. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mahu berubah, berubahlah sepenuhnya, bukan sekerat jalan!

- Advertisement -