SMK Za’ba dan SMK Seberang Temerloh (SMKST) membawa misi wajib menang apabila turun beraksi dalam perlawanan kedua terakhir masing-masing dalam saingan Liga Super Piala Remaja KPM-FAM (B-17), andai berhasrat mahu menyambar tiket beraksi di suku akhir. Â
SMK Za’ba dari Negeri Sembilan ketika ini menghuni tangga keenam dengan mengumpul 15 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan tangga keempat SMK Tabuan Jaya (Sarawak) dan pasukan tangga kelima SMK Seksyen 11 (Selangor).
Kemenangan ke atas pasukan tangga kedua SMK Bukit Nenas (Terengganu) di gelanggang sendiri berpotensi melonjakkan mereka ke kedudukan empat teratas apatah lagi SMK Tabuan Jaya tidak beraksi minggu ini.
Nasib sama turut dialami SMKST yang berada di tangga ketujuh dengan 15 mata – mereka menghidupkan peluang untuk mengintai kedudukan empat teratas setelah menewaskan SMK Syed Hassan pada minggu lalu, dan kini perlu tampil dengan satu lagi aksi bertenaga apabila bertandang ke Shah Alam untuk menentang SMK Seksyen 11.
Bagaimanapun, ianya menjanjikan aksi sukar buat SMKST memandangkan bagi SMK Seksyen 11 ianya adalah perlawanan terakhir mereka dalam saingan liga musim dan pastinya mahu mengerah sepenuh kudrat untuk memastikan kedudukan mereka tidak tergugat. Â
Sementara itu, SSM Tunku Mahkota Ismail yang sudahpun mengesahkan status selaku juara liga tidak akan turun beraksi minggu ini, manakala pasukan tangga ketiga SMK Syed Hassan pula akan berdepan pasukan tangga tercorot SMK Putera.
Bagi aksi Liga Perdana, pendahulu liga SMK Mutiara Impian dari Pulau Pinang akan berdepan wakil Melaka, SMK Seri Kota di mana kemenangan akan mengesahkan kedudukan mereka selaku juara liga.
Tumpuan bagaimanapun lebih terarah kepada pertembungan di antara pasukan tangga keempat MSS Putrajaya dan pasukan tangga kedua SSM Pahang.
Dengan hanya berbaki satu sahaja lagi slot suku akhir untuk direbut, MSS Putrajaya yang dipisahkan dua mata di belakang pasukan tangga ketiga SMK Seri Titiwangsa tiada pilihan selain menewaskan SSM Pahang untuk menyalakan peluang mereka.
Perlawanan lain menyaksikan SMK Seri Titiwangsa akan berdepan SMK Tun Hussein Onn manakala SMK Gunung Rapat dari Perak berdepan wakil Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R.Â