Oleh Ku Mohd Lufti
Saingan bagi perebutan takhta Divisyen 3B, TNB QNET, Liga Hoki Selangor, semakin rancak apabila empat pasukan mula memberi tekanan ke atas pendahulu selepas 4 perlawanan Puchong HC.
Gursticks HC muncul salah satu daripada empat pencabar tersebut apabila meraih dua kemenangan dalam perlawanan di minggu kelima.
Tiada masalah buat Gursticks HC untuk meraih kemenangan pertama selepas membenam UKM Staffs 4-0.
Tarminder Singh membuka tirai gol di minit ke 9 hasil gerakan pukulan sudut penalti sebelum Harpreet Singh menewaskan tiga pemain lawan sebelum menggegar gawang UKM Staffs dipenghujung suku pertama.
Sebaik suku kedua bermula, giliran Gurvinder Singh melakar nama selaku penjaring ketiga Gursticks HC sebelum Kinraji Singh melengkapkan kemenangan selesa pasukannya dengan gol keempat.
Perlawanan kedua, Gursticks HC tidak diberi laluan mudah sebelum meraih kemenangan kedua, menewaskan IR HC 2-0.
Selepas mengharungi 3 perlawanan, Gursticks HC berkongsi 6 mata dengan Senil Solution HC, Goodwood HC dan IR HC.
Senil Solution HC tampak memiliki kelebihan apabila kurang satu perlawanan berbanding tiga pasukan lain dan berpeluang untuk memintas kedudukan pendahulu andai melakar kemenangan di perlawanan seterusnya.
Aksi bagi sekolah sekolah pula menyaksikan Pengkalan Permatang HT terus menghidupkan peluang untuk memburu kelompok teratas Divisyen 5A selepas melakar kemenangan selesa 7-0 ke atas SM Bandar Seri Putra.
Selepas mengharungi 3 perlawanan, Pengkalan Permatang HT mengumpul 6 mata, 3 mata dibelakang dua pasukan yang masih gah bertahan dengan rekod tanpa kalah, SJI Warriors dan SM Damansara Damai Senior.
Manakal saingan Divisyen 5B, Gerakan Belia 4B Puchong masih sukar untuk ditewaskan apabila meraih 6 mata dalam dua perlawanan di minggu kelima.
Gerakan Belia 4B berpesta gol 10-3 ke atas Sepang untuk mengukuhlkan cengkaman di persada liga, namun perlawanan kedua, mereka hampir berdepan kekalahan pertama.
Berdepan STAR Klang yang juga pencabar terdekat, Gerakan Belia 4B ketinggalan 0-1 di minit ke 8 menerusi jaringan padang Muhd Hakimi.
Namun Gerakan Belia 4B Puchong bangkit untuk menyamakan kedudukan dan mendahului hasil jaringan hatrik Muhd Exmar Muhd Isa bermula di minit ke 33.
Giliran Gerakan Belia 4B Puchong mendahului apabila giliran Mohd Faizol Rozinan melakar nama selaku penjaring di minit ke 38 sebelum Exmar menambah dua lagi gol di minit 41 dan 52, untuk pasukannya mendahului 4-1.
Namun STAR Klang enggan mengalah dan melakar dua gol pantas dalam tempoh 2 minit menerusi Muhd Luqman Zaini di minit ke 55 dan 57 untuk mencemaskan lawannya.
Namun tiada jaringan tambahan dilakar STAR Klang untuk sekurang kurangnya menyamakan kedudukan apabila kedudukan 4-3 memihak Gerakan Belia 4B Puchong kekal hingga tamat perlawanan.
Liga Hoki Selangor akan bersambung dengan perlawanan seterusnya dijadual berlangsung pada 24 dan 25 September.