Oleh Ku Mohd Lufti
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi bayangan ketibaan atlet paralimpik negara yang kembali dari Rio pada 22 September nanti akan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah, satu majlis meraikan kepulangan atlet para negara akan turut diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA nanti.
Pengesahan itu dibuat selepas Mesyuarat Kabinet yang diadakan hari ini selepas pencapaian kontinjen para negara yang meraih tiga pingat emas.
“Mereka (kontinjen Paralimpik negara) kemudian akan dibawa ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan (bagi meraikan kejayaan mereka),” kata Khairy Jamaluddin.
Dalam pada itu, Khairy turut memaklumkan tiada isu melibatkan bekas atlet para negara yang turut menyumbang pingat.
Majlis Sukan Negara (MSN) diarahkan untuk membuat pembayaran pencen bulanan sebanyak RM 2000 kepada bekas atlet negara, P Mariappan bermula bulan depan.
Ia sebagai bukti negara tidak pernah melupakan perjuangan dan pengorbanan bekas atlet paralimpik negara, P Mariappan yang menyumbang pingat gangsa dalam acara powerlifting di Sukan Paralimpik 1988 (Korea Selatan) dan 1992 (Sepanyol).
Tiga pingat emas berkenaan dimenangi masing-masing oleh pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 lelaki dan Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh T20.
Di bawah skim imbuhan tetap MSN, atlet Paralimpik negara yang meraih pingat emas akan menerima pencen bulanan berjumlah RM5,000; pingat perak (RM3,000) manakala pemenang pingat gangsa menerima RM2,000.
Terdahulu, Khairy hadir pada majlis penyerahan kereta kepada pemenang pingat Sukan Olimpik Rio 2016 di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam.
Kesemua pemenang pingat di Sukan Olimpik Rio 2016 Ogos lalu diraikan diatas sumbangan dan perjuangan mereka sehingga melakar sejarah terbaik negara.
Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang meraih pingat perak ketiga berturut-turut menerima sebuah kereta Proton Perdana 2.4L .
Beregu lelaki negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying serta pasangan terjun seirama negara, Pandelela Rinong/Cheong Jun Hoong yang meraih perak, menerima kereta Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium setiap seorang.
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang yang meraih gangsa dalam acara keirin, menerima sebuah kereta Proton Persona baharu dan hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom dan Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar.