Oleh Ku Mohd Lufti
Tatkala kejayaan atlet atlet Olimpik negara terus dirai diatas kejayaan mereka di Rio Ogos lalu, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei melihat senario ini bukan satu kebimbangan.
Jadual yang padat dengan sambutan atau majlis keraian seharian dilihat ‘menjejaskan’ sesi latihan pemain pemain badminton khususnya.
Namun, ia bukan alasan kerana pemain pemain tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengekalkan prestasi di gelanggang selepas berehat seketika sekembalinya dari Rio Ogos lalu.
Kem badminton kembali menjalani persiapan untuk mengharungi baki tujuh lagi Super Series tahun ini.
“Saya harap kami ke sana (Terbuka Jepun) dapat buat yang terbaik jugalah, bukan pergi untuk berhibur atau main-main. Sekurang-kurangnya kami sedar tahap kami, maka kami akan berjuang sebab kami juga nak layak ke Final Siri Super di Dubai.
“Ini kerana hanya pemain di ranking lapan terbaik sahaja boleh beraksi,” kata Datuk Lee Chong Wei.
Pemain nombor satu dunia ini telahpun merangkul kejohanan Final Super Series sebanyak 4 kali, iaitu tahun 2008, 2009, 2010 dan 2013.
Ketika ini, Datuk Lee Chong Wei menghuni tangga ke 5 dibelakang dua pemain Denmark, Jan O Jorgensen dan Hans Kristian Vittinghus.
Manakala dua jaguh China, Tian Houwei serta Lin Dan masing masing menghuni dua tangga teratas.
Dalam pada itu, lain pula perancangan ratu terjun negara, Pandelela Rinong, yang hanya akan berlatih di dalam Malaysia dan menumpukan fokus terhadap pelajaran dan keluarga sehingga hujung tahun ini.
“Rakan sepasukan saya akan pergi ke China, tetapi belum tahu bila lagi.
“Saya pula akan kekal dan berlatih di sini kerana saya perlu luangkan lebih banyak masa untuk belajar, selain bersama keluarga,” kata Pandelela.