Oleh Muhammad Aiman
Juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) mempertaruhkan tuah gelanggang sendiri apabila melayani kunjungan wakil Hong Kong, South China FC dalam aksi timbal balik suku akhir Piala AFC, Selasa depan.
Di sebalik mendominasi sebahagian besar perlawanan pusingan pertama di Stadium Mongkok, JDT gagal mencari tambahan kepada jaringan Jorge Pereyra Diaz sebaliknya menggigit jari apabila membenarkan tuan rumah menyamakan kedudukan pada masa kecederaan perlawanan.
Justeru, pengendali Mario Gomez yakin barisan pemainnya tidak akan mengulangi kesilapan sama apabila beraksi di Larkin – gelanggang yang menyaksikan skuad juara Liga Super itu memegang rekod kebal tidak pernah tewas dalam kesemua 21 perlawanan sepanjang tahun ini.
“Kami ada beberapa peluang menjaringkan gol di separuh masa pertama, tetapi kemudiannya sedikit leka selepas rehat. Pemain-pemain terlalu mudah memberikan penguasaan bola kepada lawan dan memberi ruang kepada South China kembali dalam permainan.
“Tapi tidak mengapa, kita nantikan aksi pusingan kedua di Larkin. Pemain-pemain tidak sabar untuk tebus kekecewaan tempoh hari,” ujar Gomez yang membawa JDT melakar sejarah muncul Piala AFC buat pertama kali tahun lalu dengan menewaskan kelab Tajikistan, Istiklol FC 1-0 menerusi jaringan tunggal Leandro Velazquez.
Untuk rekod, skrip sama terhasil dalam laluan JDT bergelar juara tahun lalu – bezanya mereka terikat 1-1 menentang South China dalam aksi suku akhir pertama di Larkin, sebelum menang 3-1 di Mongkok untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 4-2.
Dalam pada itu, jurulatih South China, Ricardo Lambo percaya pasukannya tidak akan gentar berdepan sorakan penyokong JDT dan barisan pemainnya memiliki rencah yang diperlukan bagi mengagalkan hasrat Harimau Selatan meneruskan langkahan.
“Dengan persembahan yang kami tunjukkan dalam aksi pertama, saya yakin kami boleh ulanginya di perlawanan timbal balik. Kami ada pengalaman mengikat mereka di Malaysia pada tahun lalu. Jadi kami ada kepercayaan, dan juga kualiti. Ianya mungkin sukar, tetapi tidak mustahil. Saya yakin kami boleh melakukannya.”    Â