SSM Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) mengesahkan kejuaraan Liga Super Piala Remaja KPM-FAM (B-17) lebih awal meskipun tidak turun beraksi pada minggu lalu, setelah pencabar terdekat SMK Bukit Nenas (SMKBN) kecundang 0-2 kepada SMK Za’ba.
SMKBN yang beraksi dalam perlawanan terakhir mereka tewas kepada SMK Za’ba menerusi jaringan Nafis Norhani dan Syafiq Yusof di Kuala Pilah pada Sabtu lalu.
Keputusan itu menyaksikan pasukan dari Terengganu itu menamatkan saingan liga dengan 22 mata, tiga mata di belakang SSMTMI yang unggul tidak tercabar di tangga teratas dan masih mempunyai baki satu perlawanan untuk diharungi.
Kedudukan SMKBN di tangga kedua bagaimanapun masih belum terjamin setelah pasukan tangga ketiga, SMK Syed Hassan terus menghimpit rapat dengan beza hanya satu mata di belakang hasil kemenangan 4-1 ke atas pasukan tangga tercorot, SMK Putera dari Kelantan di gelanggang sendiri.
Gol buat SMKSH dijaringkan oleh Hishamudin Ahmad, Izhar Rafi, Faiz Nazri dan Amirul Azman manakala gol saguhati SMK Putera dijaringkan Zaim Azman.
Sementara itu, SMK Seberang Temerloh (SMKST) pula masih berpeluang untuk merebut tempat di suku akhir Piala KPM-FAM setelah membenam cabaran SMK Seksyen 11, juga dengan jaringan 4-1 dalam aksi yang berlangsung di Shah Alam.
Kemenangan menerusi jaringan Zainal Abidin Jamil, Khairudin Mat Yaman, Azim Rafik dan Luqmanul Haiqal menyaksikan SMK Seberang Temerloh melonjak ke tangga kelima, terikat 18 mata dengan pasukan tangga keempat, SMK Za’ba.
Aksi terakhir liga yang akan menentukan senarai muktamad pasukan layak ke suku akhir akan berlangsung pada Sabtu ini, dengan SMK Syed Hassan akan berdepan SMK Za’ba, pasukan tangga keenam SMK Tabuan Jaya berdepan SMK Putera dan SMKST akan mengetahui nasib mereka dengan berdepan SSMTMI.
Dalam aksi Liga Perdana Piala Remaja KPM-FAM pula, SMK Mutiara Impian (SMKMI) secara tidak rasminya mengenggam gelaran juara dengan baki satu perlawanan dalam tangan setelah menewaskan SMK Seri Kota 2-1 hasil jaringan Ameer Sedadi dan Athari Akil Fitri.
Kemenangan menyaksikan wakil Pulau Pinang itu mengumpul 34 mata, jumlah mata sama dengan pasukan tangga kedua, SSM Pahang yang sudahpun mengakhiri saingan liga dengan menewaskan MSS Putrajaya 1-0.
Gol tunggal Muhammad Adam Fahimi membantu SSM Pahang untuk memberi tentangan sengit kepada SMKMI dalam perebutan gelaran liga namun ianya tidak memadai untuk memintas pasukan itu yang memiliki kelebihan jaringan besar.
Kedudukan SMK Seri Titiwangsa (24 mata) di tempat ketiga pula sedikit tergugat setelah tewas kepada SMK Tun Hussein Onn 1-2, menyaksikan mereka berpotensi dipintas pasukan tangga keempat, MSS Putrajaya (22 mata) dan pasukan tangga kelima, SMK Tunku Anum T.A.R (21 mata).
SMK Tunku Anum menyalakan sisa harapan untuk merebut tempat di suku akhir setelah menewaskan SMK Gunung Rapat 1-0 hasil jaringan tunggal Faiz Faizal Noor.
Dalam aksi terakhir liga pada Sabtu ini, MSS Putrajaya akan berdepan SMK Seri Kota, SMK Tunku Anum berdepan SMKMI, SSM Pahang akan menentang SMK Tun Hussein Onn manakala SMK Datuk Peter Monjuntin akan menentang SMK Gunung Rapat.
Keputusan Liga Piala KPM-FAM (B-17)
Liga Super
SMK Za’ba (N.Sembilan) 2 0 SMK Bukit Nenas (Terengganu)
SMK Seksyen 11 (Selangor) 1 4 SMK Seberang Temerloh (Pahang)
SMK Syed Hassan (Perlis) 4 1 SMK Putera (Kelantan)
Liga Perdana
SMK Mutiara Impian (PP) 2 1 SMK Seri Kota (Melaka)
SMK Seri Titiwangsa (KL) 1 2 SMK Tun Hussein Onn (Johor)
SMK Gunung Rapat (Perak) 0 1 SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah)
MSS Putrajaya 0 1 SSM Pahang