Oleh Muhammad Aiman
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menggesa atlet-atlet negara agar mengambil inspirasi dari semangat dan kejayaan yang diraih barisan atlet paralimpik negara di temasya Sukan Paralimpik Rio De Janeiro 2016 untuk mempertingkatkan prestasi mereka.
Menurut Karim, “Ini seharusnya menjadi satu contoh buat atlet-atlet kita. Kerajaan menyediakan banyak ganjaran dan insentif, jadi mereka juga perlu bekerja keras dan menghadiahkan kita satu pencapaian yang setanding dengan pelaburan. Jangan bila sudah dimanjakan dengan wang ringgit, mereka terus ‘hilang dari radar’.
“Jika seorang atlet celebral palsy (Ridzuan Puzi) boleh melakukannya, atlet dengan masalah intelektual (Ziyad Zolkefli, Abdul Latif, Siti Noor Radiah) boleh melakukannya, seharusnya atlet-atlet normal boleh melakukan yang lebih lagi dari mereka.
“Mereka perlu keluar dari zon selesa, tidak terbuai dengan kejayaan-kejayaan kecil, tidak cepat berpuas hati dan sentiasa letak sasaran untuk melangkah jauh ke depan. Mungkin cabaran atau saingan bagi atlet-atlet normal ini lebih sukar, tetapi ianya tidak mustahil jika mereka sentiasa berusaha pertingkatkan prestasi.”
Mungkin tidak ramai yang tahu, Karim sebelum terlibat bersama KOM, merupakan bekas jurulatih atlet paralimpik negara sekitar lewat tahun 1980-an, dan beliau pernah membimbing Mohd Khasseri Othman merangkul pingat gangsa acara lompat tinggi di temasya Paralimpik Barcelona 1992.
Sambil membuka cerita mengenai detik bersejarah tersebut, Karim berkata atlet-atlet pada hari ini, baik normal mahupun kelainan upaya cukup bertuah kerana mendapat sokongan penuh dari pelbagai pihak terutamanya kerajaan yang memberikan bukan sahaja ganjaran atau insentif, tetapi menyediakan pelbagai kemudahan lain.
“Pada 1985, sebaik pulang dari Patiala (Punjab) saya ditawar untuk membantu pasukan paralimpik negara, ketika itu menguruskan trek dan padang. Ketika 1988 saya tidak terlibat dengan kontijen yang beraksi di Seoul, tetapi saya mendapat peluang pada 1992 di Barcelona.
“Saya membawa Kassheri, atlet lompat tinggi untuk merangkul gangsa, yang mana itu adalah pingat pertama bagi Malaysia dari acara olahraga. Ketika itu kami berjuang tanpa banyak sokongan daripada kerajaan, berbeza dengan hari ini mereka memberi sokongan penuh dan ini satu inisiatif baik.
“Tidak banyak negara yang menghargai atlet-atlet paralimpik sepertimana Malaysia, dan hasilnya tengoklah tiga kali lagu Negaraku berkumandang di stadium olimpik Rio. Sokongan berterusan ini sudah tentunya akan memberi motivasi kepada mereka untuk menempa kejayaan lebih gemilang di Tokyo 2020 nanti.”
Karim ditemui Sports247 pada majlis resepsi perkahwinan anak bongsunya Zafirah Karim bersama pasangan Mohd Syafiq Abdul Latiff di ibu negara.
Antara yang hadir pada majlis itu adalah tokoh-tokoh sukan tanah air seperti Dato’ Sri Zolkples Embong (CEO Sekretariat KL2017), Dato’ Mumtaz Jaffar (Naib Presiden MOM), Dato’ Jalil Abdullah (Timb. Ketua Pengarah MSN), Dato’ Hamidin Amin (Setiausaha Agung FAM) serta bekas atlet-atlet olahraga negara.