SMK Gunung Rapat (SMKGR) muncul juara Liga Perdana Piala Menteri Pelajaran (B14) dalam situasi penuh dramatik, mengecewakan SMK Seri Kota (SMKSK) dengan hanya beza jaringan setelah kedua-dua pasukan mengumpul 32 mata.
Satu mata yang diraih dalam aksi terakhir sudah memadai untuk membolehkan SMKGR bergelar juara namun pasukan dari Perak itu dipaksa bekerja keras terlebih dahulu untuk bangkit mencatat keputusan seri 3-3 menentang SMK Datuk Peter Monjuntin di Sabah.
Manakala SMKSK berputih mata di saat akhir, setelah kemenangan 2-0 ke atas MSS Putrajaya di gelanggang lawan tidak memadai untuk mereka memintas kelebihan jaringan dimiliki SMKGR.
Perlawanan lain menyaksikan SMK Tunku Anum dari Kedah melengkapkan jadual saingan dengan menewaskan SMK Mutiara Impian 2-0.
SMKGR, SMKSK dan SSM Pahang yang menamatkan musim di tempat ketiga mara ke suku akhir Piala KPM.
Sementara itu, juara Liga Super, SSM Bukit Jalil menutup tirai aksi liga dengan mencatat kemenangan kelima berturut-turut setelah menewaskan pasukan tangga ketiga SMK Bukit Nenas (SMKBN) 1-0 di Kuala Terengganu.
Gol tunggal buat skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail itu dijaringkan oleh Aniq Asri di penghujung separuh masa pertama, menyaksikan mereka menamatkan musim dengan 37 mata, tujuh mata mengatasi pasukan tangga kedua SMK Seberang Temerloh (SMKST).
“Liga ini banyak mematangkan pemain-pemain kami, walaupun tidak menjadi matlamat utama kami untuk menjuarai liga ini ataupun menjadi juara Piala KPM tetapi pengalaman bermain di Liga KPM ini sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan pemain-pemain ke arah mengejar matlamat layak ke Piala Dunia nanti,” kata Wan Rohaimi .
Bekas pemain kebangsaan itu membawa SSM Bukit Jalil muncul juara liga setelah menewaskan SSM Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) pada minggu sebelumnya.
SMKST pula kekal di tangga kedua liga dengan 30 mata meskipun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang SSMTMI di Johor Bharu.
SSMTMI yang mengharungi enam perlawanan tanpa kemenangan dilihat berada di laluan tepat untuk menoktahkan kemarau itu apabila mendahului pada minit ke-56 menerusi Nor Irfan Noorhisham namun SMKST mencuri satu mata apabila Adam Malique Daniel Ady menyamakan kedudukan lima minit sebelum perlawanan berakhir.
Satu mata yang diraih membantu SSMTMI melonjak ke tangga keempat dengan 23 mata, mengatasi SMK Seksyen 11 dari Selangor menerusi beza jaringan.
Kesemua SSM Bukit Jalil, SMKST, SMKBN, SSMTMI dan SMK Seksyen 11 layak ke suku akhir Piala KPM yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.
Perlawanan lain menyaksikan wakil Perlis SMK Syed Hassan mengakhiri saingan di kedudukan keenam setelah menewaskan SMK Za’ba 2-1 manakala wakil Kelantan, SMK Putera mencatat kemenangan kedua mereka setelah menewaskan SMK Tabuan Jaya 2-0.
KEPUTUSAN
LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)
SMK Bukit Nenas (Terengganu) 0
SSM Bukit Jalil 1
SSM Tunku Mahkota Ismail (Johor) 1
SMK Seberang Temerloh (Pahang) 1
SMK Syed Hassan (Perlis) 2
SMK Za’ba (N.Sembilan) 1
SMK Tabuan Jaya (Sarawak) 0
SMK Putera (Kelantan) 2
LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)
SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah) 2
SMK Mutiara Impian (PP) 0
SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah) 3
SMK Gunung Rapat (Perak) 3
MSS Putrajaya 0
SMK Seri Kota (Melaka) 2