Aksi pemain Kelantan Mohd Badhri Radzi(merah) di hadapan gawang penjaga gol Selangor; Norazlan Razali dalam perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Sultan Mohd IV Stadium. Photo - Hazmin Hussin/www.asiana.my - All Sports Images and News Agency

Oleh Muhammad Aiman

Kelantan melonjak ke tangga keempat Liga Super, sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam setelah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 dalam aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Ini adalah kali kedua kedua-dua pasukan bertemu di gelanggang sama dalam tempoh kurang seminggu selepas PDRM mengecewakan Kelantan untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan walaupun tewas kepada pasukan dari pantai timur itu dengan jaringan 0-1..

Dan Kelantan bingkas mengetepikan kekecewaan itu untuk sekali lagi muncul pemenang di Hang Jebat. Setelah permulaan yang berhati-hati, skuad bimbingan Velizar Popov mendahului pada minit ke-30 menerusi jaringan sepakan percuma rendah penyerang veteran, Indra Putra Mahyuddin.

PDRM tidak menunggu lama untuk menjadikan kedudukan 1-1 menerusi pemain B-22 kebangsaan, Fakrul Aiman Sidid yang menolak masuk bola ke gawang terbuka setelah Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan percubaan awal Guilherme De Paula pada minit ke-39.

The Red Warriors bagaimanapun bernasib baik untuk membawa pulang tiga mata apabila rembatan pemain import Blaze Ilijoski yang menerima hantaran cantik Wan Zack Haikal pada minit ke-77, gagal ditangkap kemas penjaga gol muda PDRM, Haziq Nadzli.

Kemenangan menyaksikan Kelantan terikat 28 mata dengan Selangor, berada di tangga keempat hanya menerusi beza jaringan dan berpotensi kembali tergelincir seandainya Selangor dan T-Team (26 mata) menang ke atas lawan masing-masing pada Sabtu.

Manakala kekalahan menyaksikan PDRM kekal di tangga kelapan dengan 21 mata, sekaligus masih belum selamat dari zon penyingkiran memandangkan mereka hanya memiliki kelebihan empat mata ke atas pasukan tangga tercorot Pahang dan dua mata mengatasi pasukan tangga kesebelas, Terengganu.

- Advertisement -