Oleh Muhammad Aiman
Selepas mengesahkan tempat ketiga dalam saingan Liga Super musim ini dengan membaham Terengganu 3-0 di Gong Badak, Kedah pantas mengalihkan tumpuan mereka terhadap aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Polis Diraja Malaysia pada Jumaat ini.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu semakin membara untuk menamatkan musim dengan menjulang piala berprestij itu buat pertama kali sejak 2008 setelah sekadar muncul naib juara pada edisi tahun lalu, tewas kepada Selangor 0-2 di perlawanan akhir.
āKita berharap kejayaan menduduki tempat ketiga ini menjadi satu suntikan semangat dan motivasi buat pemain untuk mengintai kejayaan di Piala Malaysia pula. Saya merehatkan beberapa pemain tonggak termasuk Baddrol (Bakhtiar) agar dapat menurunkan skuad terbaik apabila berdepan PDRM.
āSemua pemain bersemangat mahu menebus kekalahan di final tahun lalu, tetapi terlebih dahulu kita perlu lepasi halangan separuh akhir jadi saya tidak mahu pemain-pemain terbuai, sentiasa kekal fokus kerana dalam bolasepak apa sahaja boleh berlaku,ā kata Cheng Hoe.
Untuk rekod, Kedah melangkah ke separuh akhir setelah membelasah juara 2011, Negeri Sembilan 5-0 dalam aksi suku akhir kedua di Alor Star pada 17 September lalu manakala PDRM pula mara menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan meskipun tewas 0-1 kepada Kelantan di Hang Jebat, Melaka.
Perlawanan separuh akhir pertama antara kedua-dua pasukan dijadual berlangsung pada 30 September manakala timbal balik pada 15 Oktober depan.
Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menemukan juara bertahan Selangor menentang T-Team. Kedua-dua pasukan akan bertemu di Shah Alam pada 1 Oktober dan aksi timbal balik akan turut berlangsung pada 15 Oktober.Ā Ā