_sha1358

Oleh Muhammad Aiman

Walaupun bermula dengan agak goyah dan hambar, penamatnya tetap manis buat Terengganu Hockey Team (THT) yang menjulang Piala TNB sekali lagi dan menamatkan musim selaku juara berganda buat tahun ketiga berturut-turut.

THT bimbingan Sarjit Singh melengkapkan musim bersejarah mereka dengan menundukkan Sapura 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Tun Razak, hasil dua jaringan Jang Jong Hyun pada minit ke-6 dan 51, serta satu sumbangan Nicolas Enrique Della Tore pada minit ke-22.

Hakikatnya, THT pada satu ketika dilihat bergelut dalam saingan Liga Hoki Malaysia dan tidak ramai yang yakin akan kemampuan mereka mempertahankan kedua-dua kejuaraan yang dimenangi pada 2014 dan 2015 itu, apatah lagi mereka turut disingkirkan dari Piala Tan Sri Alagendra oleh pasukan lebih lemah, Tenaga Nasional Berhad.

Namun, mereka bangkit tepat pada waktunya untuk menewaskan dua pasukan pilihan Sapura dan Kelab Hoki Kuala Lumpur dalam laluan untuk menjuarai TNB-MHL sebelum beraksi garang di peringkat separuh akhir Piala TNB untuk menyingkirkan Maybank dengan agregat 14-5.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama sepasukan tinggi dari semua pemain. Kami memulakan musim dengan sasaran mempertahankan kedua-dua piala jadi apabila prestasi serba tidak kena, kami tekad untuk perbaiki dan bangkit ubah nasib sendiri.

“Sikap dan atitud yang ditunjukkan semua pemain wajar dipuji, kami gembira untuk sekali lagi menamatkan musim dengan dua piala. Ini membuktikan THT masih kekal sebagai kuasa besar hoki tanah air,” ujar pemain tonggak THT, Azlan Misron yang juga bekas pemain kebangsaan.

Selaku juara, THT membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 manakala Sapura yang sebelum ini menjulang Piala Tan Sri P.Alagendra pula menerima RM60,000.

- Advertisement -