Oleh Muhammad Aiman
Cabaran Malaysia di Kejohanan Badminton SuperSeries Terbuka Korea berakhir setelah kedua-dua wakil negara iaitu beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas di peringkat separuh akhir, pada Sabtu.
V Shem-Wee Kiong gagal mengulangi aksi bertenaga sama yang ditunjukkan ketika menewaskan pilihan kedua Chai Biao-Hong Wei dari China di peringkat suku akhir apabila tewas kepada satu lagi pasangan dari negara tembok besar itu, Li Junhui-Liu Yuchen.
Gandingan pilihan kelima yang memburu aksi final pertama setelah kejayaan meraih pingat perak di Sukan Olimpik pada Ogos itu tewas dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-15, 13-21 kepada Junhui dan Yuchen yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan dalam masa 51 minit.
Pada perlawanan akhir, Junhui-Yuchen akan berdepan juara bertahan yang juga pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong yang melangkah ke final dalam penampilan pertama selepas berakhirnya olimpik Rio.
Sementara itu, nasib sama menimpa Peng Soon-Liu Ying apabila pasangan sensasi negara itu sekali lagi gagal menyaingi kehebatan beregu campuran nombor satu dunia tuan rumah, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na juga dalam perlawanan yang berlanjutan tiga set.
Minggu lalu, pasangan di kedudukan ketujuh dunia itu tewas kepada lawan sama di separuh akhir Terbuka Jepun namun kali ini mereka tampil dengan permainan lebih mantap dan bermula dengan langkah kanan apabila memenangi set pertama 21-15.
Bagaimanapun, So Hyung-Ha Na bangkit melakar kemenangan 21-14, 21-15 di dua set berikutnya untuk mara ke aksi final kedua mereka dalam tempoh seminggu dan menariknya, mereka akan sekali lagi berdepan gandingan China, Zheng Siwei-Chen Qingchen  sekaligus beroleh peluang terbaik menebus kekalahan di final Terbuka Jepun tempoh hari.