Oleh Muhammad Aiman
Hajat besar raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan meleburkan rekod acara 200m – rekod berusia 48 tahun yang paling lama bertahan dalam arena olahraga tanah air di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, tidak kesampaian.
Meskipun menamatkan aksi final di Arena Universiti Malaya selaku pemenang emas, Khairul Hafiz sekadar mampu melakukan catatan masa 21.10s, bukan sahaja terlalu jauh untuk mencabar rekod 20.92 milik Tan Sri Dr M.Jegathesan yang dilakar di Sukan Olimpik Mexico 1968, malah ianya 0.09s di belakang rekod peribadi terbaiknya 21.01s.
Atlet berusia 18 tahun itu nyata tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya memandangkan dia sebelum ini membuat keputusan tidak bertanding dalam acara 100m bagi memberi tumpuan penuh kepada saingan 200m.
“Saya sendiri tidak berpuas hati dengan pencapaian hari ini, apatah lagi saya gagal walaupun untuk menyamai catatan terbaik peribadi. Faktor angin juga memainkan peranan kerana dari mula hingga akhir terpaksa berlawan dengan angin, sukar untuk buat catatan masa yang baik.
“Mungkin Tuhan belum izinkan untuk pecahkan rekod ini lagi, dan umur saya pun masih muda. Saya tidak akan berputus asa dan akan terus bekerja keras, kejohanan ini adalah yang terakhir bagi tahun ini jadi saya akan cuba lakukannya pada tahun depan.”
Cubaan Khairul Hafiz untuk memperbaharui rekod tersebut turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, timbalannya Datuk M.Saravanan dan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim.
Pingat perak bagi acara itu menjadi milik pelari Angkatan Tentera Malaysia, G.Aravinn Thevar dengan catatan masa 21.14s manakala gangsa dimenangi pemenang acara riben biru 100m dari Sarawak, Jonathan Nyepa yang melakar 21.18s.
Acara tumpuan lain pada hari penutup kejohanan menyaksikan pelari kebangsaan yang mewakili ATM, S. Komalam Shally memenangi emas 200m wanita dengan catatan peribadi terbaiknya 24.26s, mengecewakan dua rakan sepasukan Zaidatul Husniah Zulkifli (24.36s) dan Siti Fatimah Mohd (24.57).
Ia adalah emas ketiga Komalam di kejohanan ini setelah meraih emas acara 100m dan 4x100m (kuartet Siti Fatimah, Zaidatul dan Nurul Faizah Asma Mazlan) pada Sabtu dan dia kemudiannya menutup saingan dengan bergaya apabila meraih emas keempat peribadi menerusi acara 4x400m (kuartet Faradilah Rinzie, Nurul Faizah, Norshila Idris).
ATM muncul juara keseluruhan kejohanan edisi ke-93 ini dengan kutipan 16 emas, 7 perak dan 6 gangsa manakala Kuwait di tempat kedua dengan 8 emas dan dua gangsa diikuti Thailand dengan 3 emas, 3 perak dan 1 gangsa. Â Â