Oleh Ku Mohd Lufti
Pelumba kelahiran Jerman, Matthias Dolderer merangkul trofi ketiga di perlumbaan ketujuh musim ini di Litar Indianapolis Speedway, Amerika Syarikat.
Malah, kemenangan itu turut mengesahkan pelumba berusia 46 tahun itu sebagai juara dunia perlumbaan udara ekstrem, Redbull Air Race 2016 dalam kategori Masters.
Dolderer mengesahkan kejuaraan ketiga musim ini selepas melakar masa terpantas 1 minit 3.335 saat tanpa sebarang mata penalti.
Ditangga kedua adalah Nigel Lamb manakala pelumba kelahiran Kanada, Peter McLeod berpuas hati di kedudukan ketiga keseluruhan.
Aksi konsisten sepanjang musim, dan hanya terlepas di Chiba, Jepun memastikan Dolderer mengekalkan kedudukan di tangga teratas kelas Masters dengan catatan terkumpul, 80.25 mata selepas melengkapkan tujuh daripada lapan perlumbaan.
Di tempat kedua pula milik pelumba Australia, Matt Hall yang tercicir jauh dengan hanya 55.75 mata berjaya diraih manakala temoat ketiga milik pelumba Austria, Hannes Arch dengan 41 mata.
Perlumbaan terakhir bagi musim 2016 akan diteruskan di Amerika Syarikat dengan Las Vegas menjadi destinasi terakhir kesemua pelumba.