Oleh Muhammad Aiman
Pemain pertahanan Selangor, Mohd Shahrom Kalam sedar betapa dia semakin kesuntukan masa untuk merebut kepercayaan Dato’ Ong Kim Swee bagi disenaraikan di dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan di kejohanan Piala AFF Suzuki bulan depan.
Setelah beberapa keputusan buruk termasuk kekalahan memalukan 0-3 kepada Indonesia yang membuat penampilan antarabangsa sulung selepas setahun, Kim Swee dijangka merombak benteng terakhirnya apabila memanggil 10 pemain pertahanan termasuk dua lagi pemain tambahan – Shahrom dan Khairul Helmi Johari – untuk aksi persahabatan menentang Singapura (7 Oktober) dan Afghanistan (11 Oktober).
Malah Kim Swee turut membuat keputusan tidak membawa tiga daripada mereka kerana khuatir tidak dapat memberi peluang seimbang kepada semua pemain, justeru dengan pasukan sudahpun mempunyai begitu ramai pemain pertahanan Shahrom menjelaskan dia berdepan cabaran besar untuk merampas semula tempatnya di dalam pasukan.
“Banyak yang berlaku sejak tiga bulan yang lalu, saya tersisih kerana kecederaan lutut selama tiga bulan, kemudiannya tonggak utama Aidil (Zafuan) pula bersara. Ini menyebabkan ramai wajah-wajah baru dipanggil, kesemuanya pemain yang bagus sudah tentu situasi ini sukar buat saya.
“Apatah lagi saya baru kembali dari kecederaan dan masih lagi belum cergas sepenuhnya untuk beraksi. Apapun, sedikit melegakan saya kerana program pemulihan saya dipantau staff pasukan kebangsaan. Jadi, mereka tentunya tahu sejauh mana perkembangan kecergasan dan pemulihan saya,” kata kapten Selangor itu.
Dua aksi persahabatan ini adalah antara rangka persiapan terakhir buat Kim Swee sebelum dia memuktamadkan senarai akhir pemain yang akan terlibat dalam fasa latihan akhir seterusnya membawa cabaran negara di Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung di Filipina dan Myanmar dari 19 November hingga 17 Disember depan.
Malaysia dijangka berdepan laluan berliku untuk mengulangi pencapaian mara ke final dua tahun lalu apabila diletakkan bersama-sama tuan rumah Myanmar, Vietnam serta satu lagi pasukan dari pusingan kelayakan di dalam Kumpulan B.