Oleh Muhammad Aiman
Skuad bolasepak negara terus mempamer aksi hambar apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang jiran seberang tambak, Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional sebentar tadi.
Prestasi terjejas kerana pelbagai kemelut, atau sememangnya tiada kualiti. Apa sekalipun tafsiran ramai, yang jelas jika begini permainan yang ditunjukkan, maka lupakan sahaja hasrat melangkah jauh di Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung bulan depan.
Memang diketahui Dato’ Ong Kim Swee membariskan ramai muka baru dan skuad ini juga masih dalam fasa eksperimen, tetapi pemain-pemain yang diturunkan seolah tidak mahu membuktikan apa-apa, tidak menggunakan sebaiknya peluang yang diberi apabila tampil dengan aksi ‘ala kadar’.
Mana tidaknya, sepanjang 90 minit permainan, Harimau Malaysia sekadar mampu melakukan empat sahaja percubaan dan hanya satu percubaan tepat menerusi Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-74.
Selebihnya, perlawanan didominasi tuan rumah yang beberapa kali mengancam gawang kawalan Khairul Azhan Khalid menerusi percubaan Izdin Syafiq, Khairul Amri, Faris Ramli, selain dua percubaan terkena palang di penghujung separuh masa pertama.
Antara pemain baru yang diberi kepercayaan malam ini adalah Khairul Helmi Johari, Rizal Ghazali, Safawi Rasid, dan Shahrul Saad yang diturunkan dalam kesebelasan utama manakala Hadin Azman dan Darren Lok dibawa masuk di separuh masa kedua.
Shahrom Kalam juga membuat penampilan pertama selepas tersisih lama akibat kecederaan manakala Norshahrul Idlan Talaha membuat kemunculan semula bersama pasukan kebangsaan di separuh masa kedua.
Dengan pilihan pemain terhad dan kesuntukan masa, ianya jelas situasi sukar untuk Kim Swee mencari gandingan atau membentuk kombinasi yang benar-benar ideal seterusnya boleh dianggap sebagai tonggak utama pasukan.
Selepas ini, Malaysia akan berdepan pula dengan pasukan ranking 149 dunia, Afghanistan di Stadium Shah Alam yang mana akan menjadi medan terakhir buat Kim Swee menilai siapakah senarai pemain terakhir akan disenaraikan membawa cabaran di Pialaa AFF Suzuki.