Oleh Ku Mohd Lufti
Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Safirul Azli Abu Bakar mengesahkan telah menyediakan laporan berdasarkan ulasan daripada Lim Tiong Kim dan pegawai lain yang terlibat ketika aksi perlawanan persahabatan dengan Pohang Steelers FC.
Namun pihaknya perlu melakukan siasatan dengan lebih teliti dan baru sahaja menerima surat rasmi daripada Pohang Steelers FC kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Pohang Steelers mahukan penjelasan cara dan tindakannya dia (Lim Tiong Kim) menghentikan perlawanan.
Bila kita tanya Lim Tiong Kim, nada yang digunakan mungkin sudah biasa buat pegawai dan pemain pemainnya tetapi ia mungkin sukar untuk diterima oleh orang lain.”Kata Safirul Azli Abu Bakar.
Dalam pada itu, Safirul turut menambah, kontrak lanjutan Lim Tiong Kim masih lagi dalam perbincangan dan ia akan dibincangkan selepas pengendali itu kembali daripada bercuti penghujung bulan ini.
Tugasnya sedikit berbeza kli ini kerana akan menggalas dua tugas serentak termasuk di FAM.
“Kita sudah berbincang sebelum beliau pergi untuk menjalani siri Jelajah Korea Selatan dan memang ada persetujuan untuk menyambung kontraknya
“Kita sedang dalam perbincangan dengan bahagian belia dan teknikal FAM untuk bergabung dengan NFDP, justeru pegawai dalam NFDP termasuk Lim Tiong Kim akan memegang dua peranan.
“Lim Tiong Kim berkemungkinan akan memegang tugas sebagai Pengarah Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari dan di FAM beliau akan memegang jawatan Ketua pasukan elit remaja,” kata Safirul lagi.
NFDP dan FAM juga dikatakan sedang menjalani proses penstrukturan bahagian teknikal dan belia untuk menyusun kembali tugas dan peranan sebelum penggabungan dilaksanakan.