Oleh Muhammad Aiman
Kemenangan dilakar pada aksi separuh akhir pertama Sabtu lalu meletakkan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) dan SMK Bukit Nenas (SMKBN) sebagai pilihan untuk melangkah ke final Piala Remaja KPM-FAM (B-17) yang semakin menghampiri kemuncaknya.
SSMTMI yang muncul juara Liga Super bulan lalu kekal di landasan tepat memburu trofi kedua mereka musim ini apabila membawa bekalan selesa tiga gol untuk aksi timbal balik setelah menundukkan wakil Perlis, SMK Syed Hassan (SMKSH) 3-0 di Bandar Penawar. Â
Setelah terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, pasukan bimbingan Richard Scully itu tampil menepati reputasi apabila meledak tiga jaringan dalam tempoh lima minit di babak kedua menerusi Wan Arif Hakimi Wan Ahmad (m-68), T.Saravanan (m-71) dan Syahmi Zamri (m-72).
Bersandarkan prestasi semasa, SSMTMI yang sudahpun menjaringkan lapan gol dalam dua perlawanan dijangka tidak akan bermasalah mempertahankan kelebihan apabila bertandang ke Kangar pada Sabtu ini tatkala SMKSH berdepan misi mustahil untuk menterjemahkan kebangkitan. Â
Sementara itu, SMKBN pula bangkit daripada ketinggalan untuk membawa kelebihan tipis satu jaringan bagi menghadapi aksi kedua dengan menewaskan SMK Seberang Temerloh (SMKST) 2-1 di gelanggang sendiri di Stadium Mini SMKBN, Setiu. Â
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Che Khairul Syafiq Che Juhan pada minit ke-16 untuk mendahului 1-0 di separuh masa pertama namun kad merah yang dilayangkan kepada pemain pertahanan Fakhrul Amin Ahmad Roslizan pada minit ke-53 pantas merubah nasib mereka.
Bermain dengan kelebihan seorang pemain dimanfaatkan sepenuhnya SMKBN untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-75 menerusi Saufi Syarafudin Mohd Tahir dan kemudiannya beroleh jaringan kemenangan tujuh minit sebelum tamat permainan menerusi Syafiq Danial Mohd Romzi.
Begitupun perlu diakui kelebihan satu jaringan belum boleh dianggap selamat buat SMKBN justeru mereka perlu berada pada tahap prestasi terbaik bagi menghalang sebarang kejutan dalam masa sama bersedia berdepan amukan SMKST dalam aksi di Temerloh nanti.
Perlawanan akhir Piala Remaja KPM-FAM (B-17) akan berlangsung pada 22 Oktober depan di Bandar Penawar.Â