20160810-liga-kpm-sf-ssn-selangorred-yellow-vs-ssm-johor-sstmi-001

Oleh Muhammad Aiman

Dua tuan rumah untuk aksi timbal balik separuh akhir Piala Kementerian Pendidikan Malaysia (B-14), SMK Seri Kota (SMKSK) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) berkeyakinan tinggi akan melangkah ke perlawanan akhir setelah masing-masing berjaya mengelak kekalahan pada aksi pertama di gelanggang lawan.

SMKSK akan berdepan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSMBJ) di Bukit Serindit selepas berjaya mengikat juara Liga Super KPM itu tanpa jaringan di padang sintetik Majlis Sukan Negara minggu lalu dan jurulatih pasukan dari Melaka itu, Jeraie Sitan mahu barisan pemainnya tampil berada pada prestasi terbaik untuk mengecap tiket final pertama sejak 2011.  

“Ini peluang terbaik bagi kita, pasukan sedang berada dalam prestasi meyakinkan dan akan diiringi sorakan penyokong sendiri. Tidak mustahil, kita telah singkirkan Terengganu di sini dan mempunyai rekod baik tidak tewas dalam tujuh perlawanan. Malah, mungkin tidak ramai tahu kita adalah pasukan pertama halang SSBJ skor gol selepas tujuh perlawanan.

“Jadi saya percaya SSBJ akan lebih tertekan kerana mereka adalah pasukan pilihan. Kita perlu cari gol awal dan elak lepaskan gol, jika pemain dapat kekal fokus, dan tunjukkan semangat seperti sebelum ini, perlawanan akan berpihak kepada kita,” kata Jeraie.       

Bagi jurulatih SSMBJ, Wan Rohaimi Wan Ismail pula, dia menyatakan pasukannya tetap mempunyai kelebihan meskipun gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk membawa bekalan jaringan dan berharap pemainnya akan tampil dengan permainan lebih baik.   

“Kita masih tumpul dalam menyudahkan peluang. Tapi saya yakin peluang kita masih terbuka dan seimbang. Kita akan perbaiki sentuhan penyudah, memang itu masalah utama kita selebihnya saya berpuas hati. Mereka bermain lebih matang, nampak lebih serasi, tetapi kita perlu menjaringkan gol. Saya percaya mereka akan melakukannya di Melaka nanti,” ujar bekas pemain kebangsaan itu.  

Dalam pada itu, satu lagi perlawanan separuh akhir akan menyaksikan SSMTMI bimbingan Osmera Omaro melayan kunjungan wakil Selangor SMK Seksyen 11 di Bandar Penawar.

Kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 di Shah Alam minggu lalu, di mana SSMTMI bangkit daripada ketinggalan untuk menjaringkan gol penyamaan di masa kecederaan permainan menerusi Muhammad Iman Kassim selepas SMK Seksyen 11 mendahului di separuh masa pertama hasil jaringan sendiri Ahmad Umar Haziq.

“Tempoh hari memang sukar bermain di keadaan padang yang agak licin, tidak rata tetapi pemain masih memberikan yang terbaik. Bermain aksi kedua di tempat kita, satu kelebihan tetapi kita perlu akui kita tidak boleh pandang rendah pada Selangor. Mereka mampu bertahan dengan baik dan sangat berdisiplin selain mempunyai kekuatan fizikal, sentiasa bekerja keras sepanjang permainan,” kata Osmera.

Tambahnya, “Saya yakin peluang kita tinggi, tetapi kita akan berhati-hati dan cuba tunjukkan permainan terbaik mungkin. Di SSM, menang kalah adalah nombor 2, yang penting ialah kita bermain dengan cara betul, cara yang ingin kita terapkan dan bermain dengan semangat juang tinggi,” jelas Osmera.

- Advertisement -