Oleh Muhammad Aiman
Pengendali Selangor, K.Gunalan sedar kelebihan satu gol yang dibawa pasukannya bagi menghadapi aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia menentang T-Team pada Sabtu, belum boleh dianggap selamat justeru tidak akan sesekali mengerah pemainnya bermain secara defensif.
Jurulatih berusia 51 tahun itu berkata, âKita membawa kelebihan satu jaringan tetapi tidak boleh terlalu yakin. Silap jika kita anggap sudah sebelah kaki ke final kerana kita akan bermain di gelanggang lawan, ia satu venue yang sukar malah kita pernah tewas kepada mereka di sana. Jadi saya harap pemain akan berikan aksi terbaik dan cuba manfaatkan kelebihan yang kita ada.
âYang penting kita tidak boleh bertahan 90 minit, kita perlu menyerang untuk mendapatkan satu gol kerana gol tempat lawan penting untuk kita. Mereka akan mempunyai kelebihan gol tempat lawan jika berjaya menyamakan kedudukan agregat, jadi kita akan bermain seperti biasa, bertahan dan menyerang untuk memenangi perlawanan.â
Gunalan turut menarik nafas lega kerana selain Azmi Muslim yang masih mengalami kecederaan, dia akan mempunyai hampir kesemua pemain utama termasuk kapten pasukan Shahrom Kalam yang kembali dari kecederaan lutut serta Saiful Ridwan Selamat yang tidak beraksi tempoh hari kerana penggantungan.
Justeru, Gunalan yang mengambil alih tugas dari Zainal Abidin Hassan pada pertengahan Ogos lalu percaya dia akan dapat menurunkan barisan kesebelasan terbaik bagi mengekang kebangkitan T-Team, seterusnya berada di landasan mempertahankan trofi Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.
Dalam pada itu, penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri berkata pengalaman yang diraih ketika dua aksi antarabangsa menentang Singapura dan Afghanistan minggu lalu memberikannya lebih keyakinan dan bersedia menjadi pemusnah pertahanan T-Team.
âBerlatih bersama rakan sepasukan yang datang dari pelbagai negeri ketika latihan pusat sememangnya sedikit sebanyak membantu meningkatkan ketajaman dan penyudah saya apabila mendapat peluang di depan gol. Saya tekad berikan aksi terbaik jika diturunkan, perlawanan ini ibarat final bagi kami.â
Manakala penjaga gol, Khairul Azhan Khalid pula berkata, âMereka mempunyai gol tempat lawan jadi kami tidak boleh lepaskan gol di sana. Saya tidak pasti siapa yang akan menjadi pilihan jurulatih, tetapi siapapun diturunkan tekad kami adalah sama, perlu bekerja keras dan kekal fokus agar gawang tidak dibolosi.
Selangor membawa bekalan tipis satu gol ke Kuala Terengganu hasil kemenangan 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Shah Alam, di mana mereka bangkit dari ketinggalan kepada jaringan Patrick Dos Santos dan menjaringkan dua gol menerusi Ahmad Hazwan dan Ugochukwu Ukah.