sivasangari

Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Raket Skuash Malaysia (SRAM) berdepan risiko kehilangan antara bakat muda paling menonjol ketika ini, S. Sivasangari jika mereka tidak mengambil tindakan wajar dan segera untuk menukar status pemain itu kepada professional.

Pemain berusia 17 tahun itu telah mencatat deretan kejayaan membanggakan di peringkat junior dan harapan adalah cukup tinggi agar dia akan meneruskannya di peringkat senior dalam usaha Malaysia melahirkan seorang lagi jagoan skuash dunia selepas berakhirnya era Dato’ Nicol David.

Untuk rekod, pada Ogos lalu Sivasangari mara sehingga ke peringkat separuh akhir Kejohanan Skuash Remaja Dunia di Poland manakala pada bulan lalu dia muncul juara Kejohanan Remaja Asia B-19 buat kali keempat dengan menewaskan pemain Jepun, Watanabe Satomi.

Pemain di ranking ke-62 dunia itu juga menjuarai Piala Asia Tenggara (SEA) pada Januari lalu selain melakar sejarah menjuarai kesemua lima sirkit Jelajah Skuash Malaysia tahun ini dan menyatakan hasratnya mahu bergelar professional sebaik tamat pengajian di Kolej Tunku Jaafar, Mantin, Negeri Sembilan pertengahan tahun depan.

Anak kelahiran Kedah itu ibarat berada di awangan apabila turut cemerlang dalam bidang akademik dan mengakui telah menerima beberapa tawaran melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat (US).

Andai Sivasangari membuat keputusan untuk menerima tawaran belajar di US, jurulatihnya Ong Beng Hee khuatir Malaysia akan kehilangan bintang skuash yang berpotensi digilap menjadi bertaraf dunia justeru menggesa SRAM hadir dengan pakej ideal untuk membantunya mencapai impian bergelar professional.

“Dia sedang menunjukkan perkembangan baik dalam pelajaran, dan kita akan kehilangannya jika universiti di US menawarkannya biasiswa pelajaran. Jika dia terima tawaran dari salah satu universiti di sana, dia mungkin juga akan mewakili US apabila tamat pengajian. Jadi sebelum perkara sebegitu berlaku, adalah elok SRAM tawarkannya satu pakej ideal, yang mana dia tidak boleh tolak,” kata Beng Hee.

Sivasangari masih boleh beraksi di kejohanan peringkat remaja untuk dua tahun lagi dan Beng Hee mahu pemain itu terus fokus dalam meningkatkan permainan agar dapat menyerlah di Kejohanan Terbuka Remaja British pada Januari depan, serta Kejohanan Remaja Dunia di Auckland.

Beng Hee juga berpendapat Sivasangari adalah pilihan untuk melengkapkan senarai pemain negara yang akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia di Paris yang akan berlangsung dari 28 November hingga 3 Disember depan.

SRAM dijangka membuat keputusan pada hujung bulan ini mengenai siapakah di antara Sivasangari dan Rachel Arnold yang akan menyambar slot terakhir di dalam pasukan seterusnya mengiringi Nicol, Delia Arnold dan Low Wee Wern beraksi di kejohanan itu.

Selepas ini, Sivasangari akan memburu kejuaraan Sirkit Jelajah Malaysia keenamnya di Kuantan dari 25 – 28 Oktober depan, sebelum menutup tirai tahun ini dengan beraksi di Kejohanan Antarabangsa Volcans di Ferrand, Perancis pada Disember.

- Advertisement -