jm2016-3

Oleh Ku Mohd Lufti

Impian pelumba Terengganu Cycling (TSG) Mohd Harrif Salleh untuk muncul raja pecut bagi Jelajah Malaysia 2016 tidak kesampaian apabila dipintas pencabarnya daripada pasukan KSPO, Park Seung Baek.

Peringkat kelima dari Kemaman menuju ke Kuala Terengganu dengan jarak 184.4 kilometer dimenangi Park Seung Baek yang terlebih dahulu melintasi garisan penamat dalam kelompok besar dengan catatan masa 3 jam 14 minit 37 saat.

Tempat kedua milik pelumba NSC Mycron, Irwandie Lakasek manakala pelumba TSG, Dadi Suryadi melengkapkan podium bagi peringkat kelima.

Rentak kemenangan Park Seung Baek bermula selepas melepasi zon pecutan kedua di Dungun dimana pelumba berusia 31 tahun ini meninggalkan peloton untuk mengetuai perlumbaan.

Malah, Baek mengungguli meraih mata maksimum di zon pecutan Dungun dan Kampung Rhu Muda untuk memintas Harrif Salleh dalam kedudukan raja pecut pada satu ketika.

“Kami mencari kemenangan peringkat pada peringkat terakhir hari ini, saya diberi tentangan hebat oleh Dadi Suryadi (TSG) dan pelumba Malaysia (Irwandie Lakasek).

“Saya gembira dengan kemenangan ini dan tidak mensasarkan jersi biru sebenarnya, hanya mahu mencari kemenangan peringkat sahaja,” kata Seung Baek.

Ini adalah podium kedua Park Seung Baek selepas menduduki tempat kedua di peringkat ketiga dari Gua Musang ke Pasir Puteh, Kelantan.

Selain muncul juara peringkat kelima, Park Seung Baek turut mengesahkan status selaku raja pecut bagi Jelajah Malaysia edisi ke 52 selepas mengumpul 51 mata, manakala Harrif Salleh berpuas hati ditempat kedua dengan 43 mata.

Dua pelumba Pishgaman Giant, Arvin Moazami Godarzi terus mengekalkan jersi kuning sekaligus ditabal sebagai juara keseluruhan JM 2016, manakala rakannya Amir Kolahdouz Hagh secara rasmi diumum sebagai raja bukit.

“Tiada tekanan buat saya diperingkat terakhir hari ini kerana hanya mengekori rapat pencabar saya dan tidak perlu untuk memburu podium. Saya harap dapat turun kembali untuk mempertahankan jersi ini tahun depan,” kata Arvin.

Pelumba muda terbaik Jelajah Malaysia 2016 pula kekal milik James Jesse Ewart daripada 7 Eleven Sava RBP Philippines sementara pelumba terbaik Malaysia milik Nik Mohd Azwan Zulkiflie.

jm2016-1

- Advertisement -