20161023-final-liga-kpm-u17-ssn-terengganuwhite-vs-ssm-bandar-penawar-006

 

20161023-final-liga-kpm-u17-ssn-terengganuwhite-vs-ssm-bandar-penawar-001

Dua jaringan pada masa tambahan membantu SMK Bukit Nenas (SMKBN) menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 4-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung Ahad, seterusnya menjulang Piala Remaja KPM B17.

Terikat 2-2 selepas tamat 90 minit, perlawanan di Stadium Mini SSTMI, Bandar Penawar itu berlanjutan ke masa tambahan dan pasukan dari Terengganu itu muncul pemenang menerusi jaringan Hairiey Hakim Mamat pada minit ke-104 serta Tuan Ahmad Muqris Noor Marzuki pada minit terakhir. 

Jurulatih SMKBN, Zainuddin Md Zain berkata kegagalan pada musim lalu membakar semangat pemainnya untuk tampil memberikan aksi terbaik sekaligus muncul juara buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun walaupun turun sebagai pasukan bukan pilihan.

“Pemain mengikut setiap arahan dan disiplin sebagai pemain telah mereka laksanakan dengan sempurna di atas padang, ini kunci utama membantu kita muncul juara. Apatah lagi, kita menang dengan menewaskan Sekolah Sukan Malaysia, sudah tentunya ia pencapaian cukup manis.

“Selepas gagal pertahankan kejuaraan tahun lalu, kita telah meletakkan sasaran merampas semula kejuaraan dan saya cukup terharu pemain kotakan janji mereka, terima kasih kepada semua pemain yang telah bekerja keras sejak dari awal hingga tamat permainan,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, Terengganu membuka jaringan pada minit ke-11 setelah Muhammad Afif Sufyan Azman menanduk masuk hantaran sepakan sudut rakan sepasukan.

SSTMI menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-36, menerusi rembatan kencang Ramadhan Saifullah Usman yang gagal diselamatkan penjaga gol SMKBN, Syed Muhamad Irfan Syafiq.  

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mencipta beberapa peluang dengan SMKBN hampir merebut semula pendahuluan pada minit ke-42, namun percubaan dari dalam kotak penalti Wan Muhd Badru Muhayat diselamatkan Hakeem Hamidun.

Kesilapan pertahanan SSTMI menyaksikan SMKBN kembali mendahului pada minit ke-73 menerusi tolakan mudah Syafik Ismail yang hanya berdepan Hakeem, namun kelebihan itu hanya bertahan empat minit apabila Nor Iskandar Noorizman menanduk masuk hantaran sepakan sudut untuk 2-2 sehingga tamat masa sebenar.

Meskipun tidak banyak mencipta peluang di masa tambahan dek faktor kepenatan, SMKBN memanfaatkan sebaiknya kesilapan pertahanan SSTMI untuk meledak dua jaringan yang menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Bagi jurulatih SSTMI, Richard Scully: “saya rasa semua akan akui ia  satu perlawanan  yang menarik. Kedua-dua pasukan tunjukkan satu permainan berkualiti, bermain cukup baik di atas padang tiruan. Ini adalah kayu pengukur sebenar yang kita mahu lihat.

“Kita tewas kali ini kerana kesilapan kecil, bagi saya itu perkara biasa dalam bolasepak. Walaupun keputusan tidak menyebelahi kita, saya puji corak permainan dan kerja keras ditunjukkan pemain.”

20161023-final-liga-kpm-u17-ssn-terengganuwhite-vs-ssm-bandar-penawar-003

20161023-final-liga-kpm-u17-ssn-terengganuwhite-vs-ssm-bandar-penawar-002

- Advertisement -