Oleh Muhammad Aiman
Pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali mengingatkan rakan sepasukan agar tidak mengambil mudah kelibat pemain sayap lincah Selangor, Andik Vermanshah apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Bek kanan berusia 24 tahun yang semakin menonjol itu berpendapat Andik sedang berada di kemuncak prestasi dan berpotensi menjadi watak penting menggerakkan sentuhan barisan depan Gergasi Merah Kuning justeru adalah penting barisan pertahanan Kedah mengunci pergerakan pemain itu.
âSelangor mempunyai pemain-pemain barisan serangan yang laju. Hazwan (Bakri), Gopinathan, Patrick (Ronaldinho) semuanya berbahaya, tetapi ianya Andik yang menarik perhatian saya. Dia cukup cemerlang ketika menentang T-Team (separuh akhir), mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan kami perlu mengikat Andik,â kata Rizal.
Tahun lalu, Selangor muncul juara Piala Malaysia buat kali ke-33 setelah menewaskan Kedah di perlawanan akhir menerusi dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri. Ia adalah penampilan pertama Kedah di pentas final selepas muncul juara pada 2008.
âMereka (Selangor) menghukum kesilapan pertahanan kita pada tahun lalu. Jadi, jika kami mahu menang Ahad ini, penting untuk kesemua pemain memberi perhatian penuh sepanjang perlawanan. Saya tidak jangka akan bertemu Selangor sekali lagi di final, jadi saya anggap ianya peluang kedua buat Kedah membalas dendam kekalahan lalu,â tambah Rizal.
Mengenai âfaktor Shah Alamâ yang dijangka memberi kelebihan kepada Selangor kendalian K.Gunalan, Rizal berkata, âSaya tidak terlalu bimbang dengan perkara itu, saya rasa kami tidak akan nampak seperti pasukan pelawat kerana kehadiran penyokong kedua-dua pasukan dijangka seimbang. Tiket pun sudah habis terjual jadi saya harap kehadiran mereka akan menyemarakkan lagi semangat kami.â
Rizal yang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan ketika seri tanpa jaringan menentang Singapura dijangka membentuk benteng terakhir skuad Lang Merah kendalian Tan Cheng Hoe bersama-sama Azmeer Yusoff, Bang Seung Hwan dan ketua pasukan Khairul Helmi Johari.