Syakilla Salni Jefri Krishnan
Syakilla Salni Jefri Krishnan di kedudukan nombor 1 dunia dalam acara Kumite Wanita 55 kilogram, Liga Premier Persekutuan Karate Sedunia Karate1. Kredit Foto – Thestar.com.my

Setelah hasratnya melangkah ke final tidak kesampaian setelah tewas di separuh akhir, atlet karate negara Syakilla Salni Jefri Krishnan masih berpeluang menamatkan cabaran di Kejohanan Karate Dunia yang sedang berlangsung di Austria di kedudukan podium.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Incheon 2014 itu berpeluang menebus kecewa apabila turun menentang atlet nombor satu dunia, Sara Cardin dari Itali dalam perlawanan merebut pingat gangsa bagi acara kumite bawah 55kg yang dijadual berlangsung Sabtu.

Syakilla yang meraih pingat perak di Kejohanan Dunia Jerman menerusi acara kumite bawah 60kg dua tahun lalu, hadir ke kejohanan kali ini dengan reputasi sebagai pendahulu kedudukan Liga Premier Karate1 dunia.

Reputasi itu menyaksikan harapan tinggi diletakkan ke atas Syakilla untuk menebus kegagalan di final dua tahun lalu, namun cabarannya tersekat di separuh akhir apabila tewas 2-3 kepada atlet Perancis, Emilie Thouy pada Khamis lalu.

Dia yang berada di ranking keenam dunia sebelum itu cemerlang menundukkan Tjasa Bertoncelj dari Slovenia (4-0), Elizaveta Lazareva dari Russia (2-0), Maeva Samy dari Mali (penentuan) dan Simona Zaborska dari Macedonia (penentuan) untuk melangkah ke separuh akhir.

Selain Syakilla, dua lagi wakil negara Lim Chee Wei dan S.Shree Sharmini Segaran masing-masing turut layak ke perlawanan penentuan pingat gangsa acara kata bawah 50kg lelaki dan wanita, bersama-sama pasukan kata lelaki sekaligus menyaksikan Malaysia berpotensi menamatkan cabaran di kejohanan ini dengan empat pingat.

Chee Wei yang juga merupakan pemenang pingat emas di Sukan Asia, akan berdepan atlet Venezuela di ranking ketiga dunia, Antonio Diaz setelah menundukkan Lau Chi Ming 3-2 di pusingan repechage.

Dia kemudiannya akan bergandingan dengan Thomson Hoe dan Emmanuel Leong dalam acara kata berpasukan lelaki yang akan turun berdepan Sepanyol dalam perlawanan penentuan gangsa, terdahulu mereka menyingkirkan Peru 5-0.

Manakala Sharmini pula, tewas 1-4 kepada peserta nombor satu dunia dari Perancis, Alexandra Recchia di separuh akhir dan akan berdepan peserta tuan rumah, Bettina Plank untuk merebut gangsa.

- Advertisement -