Olah Muhammad Aiman
Meskipun tidak diletakkan harapan tinggi, ia tidak menghalang skuad bolasepak wanita negara untuk mensasarkan pingat gangsa di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Skuad wanita negara tidak mengharungi pencapaian membanggakan dan ketika ini berada di kedudukan ketujuh dari kalangan 11 pasukan Asia Tenggara namun Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Brig Jen Datuk Norhuda Ahmad percaya sasaran itu realistik mengambil kira beberapa faktor.
“Bolasepak wanita di kalangan negara Asia Tenggara semakin menunjukkan peningkatan, ini satu cabaran buat kita. Sudah tentunya Thailand, Vietnam dan Myanmar akan menjadi pencabar utama kita, tetapi kalau kita tengok kedudukan Myanmar (35) dan Malaysia (85), kita hanya tewas 1-2 kepada mereka di Piala AFF dan ini satu perkembangan positif.
“Saya yakin kita masih ada masa yang cukup untuk bentuk satu pasukan berkualiti, kita akan bermain di tempat sendiri. Jadi, pingat gangsa saya lihat sebagai sasaran realistik,” kata Norhuda yang ditemui pemberita pada majlis penyerahan jersi kepada pengurus pasukan Kejohanan Liga Bolasepak Perempuan B-16 di Wisma FAM, petang tadi.  Â
Pada Kejohanan Piala AFF Wanita 2016 di Myanmar Julai lalu, cabaran skuad negara kendalian Asyraaf Abdullah tersekat di peringkat kumpulan setelah tewas 0-4 kepada Australia dan 1-2 kepada Myanmar dalam dua perlawanan pertama, sebelum menutup tirai dengan kemenangan besar 13-0 ke atas Timor Leste.
Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan wanita negara di Sukan Sea adalah meraih pingat perak di Chiang Mai, Thailand pada 1995.
Dalam pada itu, bercakap mengenai Liga Bolasepak Perempuan B-16, Norhuda berkata ia bakal disertai 11 buah Sekolah Sukan Negeri serta Sekolah Sukan Malaysia Sabah dengan pusingan pertama akan berlangsung 18-20 November ini di Sekolah Menengah Mutiara Impian, Pulau Pinang.
Menurutnya, “Ini adalah kali pertama liga ini dianjurkan bagi kategori B-16, sebelum ini kejohanan untuk B-14 pernah diadakan. Saya harap di masa akan datang, kedua-dua kejohanan B-14 dan B-16 dapat diadakan serentak. Saya juga berharap menerusi kejohanan ini lebih banyak bakat akan dapat diketengahkan.”