kim-swee

Oleh Muhammad Aiman

Tinggal dua minggu sahaja lagi untuk Piala AFF Suzuki 2016 membuka tirai, namun pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee tidak berselindung menyatakan belum mempunyai gambaran pemain manakah bakal diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama skuad Harimau Malaysia.

Kim Swee telah membuat rombakan besar pada skuad kebangsaan sejak pulang dari Jelajah Oceania pada Jun lalu berikutan persaraan beberapa pemain tonggak antaranya ketua pasukan Safiq Rahim dan pertahanan berpengalaman Aidil Zafuan Abdul Radzak selain turut dihimpit masalah kecederaan.

Justeru, pengendali berusia 45 tahun itu tiada pilihan selain mencuba gandingan baru di segenap posisi dalam beberapa aksi persahabatan sebelum ini termasuklah menentang Singapura dan Afghanistan bulan lalu, dan kini dia berperang dengan masa untuk mempersiapkan sebuah skuad mantap bagi memberi cabaran serius di Myanmar.

Menurut Kim Swee, “Pemain yang akan saya turunkan berdepan Papua New Guinea pada 14 November nanti berkemungkinan adalah kesebelasan yang turut menjadi pilihan di AFF Suzuki nanti. Saya berharap semua pemain termasuk pemain-pemain yang masuk sebagai gantian akan menunjukkan satu persembahan positif sebelum saya senaraikan 23 pemain terakhir.”

Skuad kebangsaan seramai 26 pemain beserta staff kejurulatihan dan pegawai pasukan pulang dari Kem Bina Semangat di Port Dickson petang tadi dan akan turun menjalani latihan pada Sabtu – latihan pertama yang akan dikendalikan bermula jam 3 petang bagi menyesuaikan diri dengan jadual perlawanan di Myanmar nanti.

Malaysia yang merupakan juara Piala AFF Suzuki pada 2010 serta finalis 2014, akan membuka tirai aksi Kumpulan B menentang Kemboja pada 20 Oktober, diikuti Vietnam (23 Oktober) dan Myanmar (23 Oktober).

Mengenai aksi menentang Kemboja, Kim Swee berkata, “Kemboja pastinya berkeyakinan tinggi setelah menang tiga perlawanan di pusingan kelayakan, yang mana ia bakal memberi mereka kelebihan dari segi pendedahan dan motivasi pemain. Jadi kita perlu berada di tahap terbaik untuk aksi pembukaan nanti, kemenangan pada perlawanan pertama adalah cukup penting.”

- Advertisement -