image1

Oleh Muhammad Aiman

Skuad remaja negara mengakhiri cabaran di Kejohanan Hoki B-21 Piala Sultan Johor di kedudukan kelima setelah mencatat kemenangan 4-1 ke atas New Zealand dalam perlawanan klasifikasi di Stadium Taman Daya, pada Ahad.

Ia kemenangan kedua buat skuad kendalian Wallace Tan di kejohanan ini setelah menewaskan lawan sama 2-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, semalam sekaligus berjaya mengelak aib menduduki tangga tercorot pada 2012 berulang. 

“Pemain-pemain bekerja keras untuk kemenangan ini dan kali ini kita memanfaatkan peluang yang dicipta pada hari ini. Itu beza pada perlawanan ini. Mereka telah belajar sesuatu dan mendapat pengalaman berguna dari kejohanan ini,” ujar Wallace.

Menentang pasukan yang tewas kesemua lima perlawanan peringkat kumpulan, Speedy Tigers mengawal permainan dari awal dan mendahului 2-0 dalam tempoh 10 minit pertama perlawanan berlangsung.

Najmi Farizal Jazlan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit keenam untuk membuka jaringan diikuti jaringan padang oleh Zulhamizan Awang Abas pada minit kesepuluh.

Malaysia mengendurkan asakan selepas itu, dan ia memberi ruang kepada Black Sticks kembali dalam permainan menerusi jaringan Mac Wilcox tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Pasukan negara kembali menguasai hampir keseluruhan aksi separuh masa kedua namun New Zealand bertahan dengan baik sehinggalah minit ke-51 apabila Muhammad Firdaus Fauzi memanfaatkan kesilapan pertahanan untuk meledak gol ketiga sebelum Asyran Hamsani melengkapkan kemenangan 4-1 seminit sebelum tamat permainan.

“Kita terpaksa perlahankan tempo permainan selepas mendahului dua gol kerana ini adalah kejohanan 35 minit setiap babak, jadi untuk kekalkan tempo tinggi sepanjang perlawanan adalah tidak mudah. Kita mempunyai kelebihan dan mahu mempertahankannya,” kata Wallace lagi.  

- Advertisement -