Oleh Muhammad Aiman
Pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee berpendapat persiapan pasukannya untuk menghadapi Piala AFF Suzuki bermula 20 November depan tidak perlu dipengaruhi oleh keputusan-keputusan positif dicatat pencabar mereka di kejohanan itu nanti.
Selain Kemboja yang mara dengan memenangi pusingan kelayakan, Malaysia diundi bersama pasukan kedua terbaik Asia Tenggara, Vietnam serta tuan rumah Myanmar dalam aksi Kumpulan B kejohanan itu yang akan berlangsung di Yangon.
Menariknya ketiga-tiga pasukan itu memperlihatkan betapa Malaysia bakal berdepan cabaran getir untuk setidak-tidaknya melepasi halangan peringkat kumpulan dengan menunjukkan prestasi meyakinkan dalam aksi persahabatan yang diharungi.
Kemboja yang dianggap pasukan paling lemah, menang kesemua empat aksi terakhir justeru bakal bertandang ke Yangon dengan keyakinan tinggi, Vietnam pula tidak tewas dalam enam perlawanan terakhir dan terbaru menewaskan Indonesia 3-2.
Manakala Myanmar mencatat keputusan seri tanpa jaringan juga menentang Indonesia pada Jumaat lalu – lawan yang menewaskan Malaysia 3-0 pada September lalu, dalam aksi antarabangsa pertama mereka sejurus kembali dari penggantungan selama setahun. Â
Bagi Kim Swee, situasi itu tidak sepatutnya menghadirkan resah sebaliknya perlu menjadi motivasi buat para pemain Harimau Malaysia untuk tampil membuktikan mereka boleh beraksi dengan lebih baik dari apa yang dipersembahkan sebelum ini.
“Saya percaya pemain-pemain kita telah menunjukkan peningkatan sejak kekalahan kepada Indonesia tempoh hari. Kita mengikat Singapura dan Afghanistan, mungkin bukan keputusan yang kita harapkan tetapi kita berjaya perbaiki kelemahan terutamanya di barisan pertahanan.
“Saya harap mereka akan terus bertambah baik menjelang aksi bertemu Kemboja, Vietnam dan Myanmar nanti. Saya cukup positif dengan perkembangan mereka,” kata Kim Swee.
Kim Swee sebelum itu akan membimbing pasukannya menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada Isnin, yang akan menjadi medan penilaian terakhir sebelum senarai 23 pemain dimuktamadkan.
Sebagai membantu kelancaran persiapan, pengendali dari Melaka itu turut merubah jadual latihan pasukannya lebih awal kepada 3 petang bermula minggu ini bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan jadual perlawanan di Yangon. Â
Perlawanan menentang Kemboja (20 November) dan Vietnam (23 November) akan berlangsung jam 3 petang, manakala perlawanan terakhir menentang tuan rumah Myanmar (26 November) akan berlangsung jam 6 petang.