Oleh Muhammad Aiman
Skuad bolasepak kebangsaan yang bertandang ke Myanmar untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2016 bermula 20 November ini tidak lagi akan menyarung jersi berwarna kuning (home) mahupun biru (away) yang menjadi tradisi sejak sekian lama.
Sebaliknya, Nike pada hari ini memperkenalkan jersi dengan teknologi dan rekabentuk baru, inovasi baru dan warna baru serba hitam (home) serta putih (away) yang dipercayai dapat membantu meningkatkan keyakinan pemain di atas padang.
Rekabentuk baru jersi home kebangsaan, tampak berbeza secara keseluruhannya – di mana buat pertama kalinya warna kuning dijadikan sebagai ‘warna sampingan’ di kedua-dua sisi jersi dan begitu juga dengan jersi away di mana biru sebagai ‘warna sampingan’, menjadikannya kelihatan lebih cantik dan menarik.
Selain itu, jersi ini juga menyaksikan pengenalan teknologi Dri-Fit Nike baru yang bertujuan memberikan pengudaraan yang lebih baik dan membantu mengawal suhu badan pemain.
Pengurus Pemasaran Nike Malaysia, Nino Priambodo berkata, “Permainan bolasepak telah banyak berubah selaras peredaran masa, menjadi lebih laju dan lebih agresif. Justeru, rekabentuk jersi kali ini melalui proses pengujian lasak, selain turut mengambil kira maklumbalas dan pandangan pemain untuk menghasilkan satu kit yang memberi keselesaan seterusnya menggalakkan prestasi berkualiti tinggi.
“Selain perubahan besar pada penampilan, ia menyokong pemain-pemain dengan inovasi Nike terbaru dalam pembinaan kain, teknologi prestasi dan pengurusan kelembapan – yang mana semua aspek ini cukup penting bagi meningkatkan prestasi pemain.”
Hadir sama pada majlis pelancaran di Majlis Sukan Negara adalah ketua jurulatih skuad negara, Dato’ Ong Kim Swee serta empat pemain Harimau Malaysia iaitu Baddrol Bakhtiar, Zaquan Adha Abdul Radzak, Matthew Davies dan Nazirul Naim Che Hashim yang memperagakan jersi buat pertama kali kepada umum.
Bagi Zaquan, jersi kali ini lebih ringan dan selesa berbanding jersi-jersi keluaran terdahulu, “Nike banyak mendengar pendapat pemain. Dari 2008, kalau kita kata ada apa-apa kelemahan, mereka akan memperbaikinya. Sudah tentunya ia memberi satu suntikan semangat baru buat kami, rekabentuk baru, jersi baru, warna baru. Ia juga direka mengikut potongan badan, fit supaya memudahkan kita berlari dan bermain.”
Tambah pemain JDT II itu, “Kami adalah kumpulan pertama pemain untuk memakai jersi baru ini, ini adalah satu penghormatan bagi kami yang akan mewakili negara di Piala AFF Suzuki dan kami harus bertanggungjawab dengan penghormatan ini dengan menunjukkan aksi cemerlang di Myanmar nanti. Diharap warna yang lain ini, akan memberi kelainan dalam prestasi kita.”
Sementara bagi Baddrol pula, “Nike menitikberatkan perkara-perkara kecil yang boleh memberi impak besar. Sebagai pemain, perkara penting adalah ringan dan pengudaraan. Jersi ini bergitu selesa dipakai, dan kita juga rasa tenang. Rekabentuk dan warna membangkitkan satu semangat melawan.”
Pasukan negara dijadual berlepas ke Yangon pada Rabu, 16 November di mana Malaysia yang diundi di dalam Kumpulan B akan membuka tirai Piala AFF Suzuki edisi kali ini dengan menentang Kemboja pada 20 November.
Apa yang kita harapkan, mereka tidak hanya gah dengan memakai jersi dengan rekabentuk dan warna baru. Tampilkan satu semangat dan keyakinan baru, prestasi juga perlu pembaharuan, tonjolkan satu kelainan, bawalah pulang kejayaan walaupun ianya tampak mustahil di atas kertas.
‘Malaysia Boleh’ tidak seharusnya menjadi satu laungan kosong semata-mata!