jdtbenga-1

Oleh Muhammad Aiman

Pemain tengah berbakat besar, Nazmi Faiz Mansor membuat keputusan besar dalam kariernya apabila meninggalkan Selangor untuk menyertai skuad juara Liga Super tiga musim berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT).

Perkara itu disahkan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam sidang media di Stadium Larkin pada Rabu.

Namun kelibat pemain berusia 22 tahun itu yang pada satu ketika pernah digelar ‘wonderkid’ tidak akan dapat disaksikan di Liga Malaysia musim depan apabila pemain itu akan dipinjamkan ke kelab di Jepun.

“Kami mempunyai perancangan yang besar untuknya, oleh sebab itulah pengurusan membuat keputusan mahu menghantarnya pergi ke Jepun terlebih dahulu bagi tujuan pendedahan.

“Kami belum kenalpasti kelab mana, tetapi yang pasti dia akan bermain di sana. Apabila dia sudah mendapat pengalaman di Jepun, sudah tentunya ia bermanfaat bagi kita,” demikian menurut TMJ.

Sekiranya menjadi kenyataan, ini adalah kali kedua Nazmi mendapat pendedahan di luar negara setelah menyertai kelab Portugis, SC-Beira Mar pada 2012 dengan perjanjian selama tiga musim.

Namun, perjalanan kariernya bersama skuad B-19 Beira Mar tidak seperti diharapkan dan dia pulang ke tanah air hanya beberapa bulan sahaja berada di sana, menyertai PKNS Selangor selama semusim pada 2013 dan kemudiannya berhijrah ke Red Giants selama tiga musim.

Pada sidang media sama, TMJ turut mendedahkan pasukan itu berminat mendapatkan khidmat beberapa pemain berprofil tinggi tempatan termasuk penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri sebelum latihan pra-musim pasukan itu bermula bulan depan.

“Kita akan menghantar surat secara rasmi kepada persatuan-persatuan yang berkenaan bagi memaklumkan hasrat mendapatkan pemain mereka,” kata TMJ yang turut memaklumkan bahawa JDT akan mengurangkan hampir 50 peratus bajet bagi persiapan musim baru.

Bagi tujuan itu, TMJ berkata beberapa pemain tempatan antaranya Nazrin Nawi serta import seperti Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero akan dilepaskan skuad juara Piala AFC 2015 itu sekiranya menerima tawaran berpatutan bagi mengimbangi kedudukan kewangan pasukan.

“Tahun depan adalah tahun pemulihan bagi kita, setelah berbelanja begitu besar dari 2013-2016. Fokus kita bagi musim baru adalah pembinaan stadium dan pusat latihan baru. Kita perlu mengekalkan stabiliti kewangan pasukan dan saya tidak mahu berada dalam situasi di mana JDT tidak dapat membayar gaji pemain dan pegawainya.

“Sekiranya penyokong benar-benar sayangkan JDT, saya harap mereka akan menyokong kelab ini melalui Yayasan Penyokong JDT, yang mana mereka boleh membeli saham kelab dan menjadi sebahagian daripada kelab. Ini adalah sama dengan konsep diamalkan Barcelona,” katanya lagi.

- Advertisement -