mas-training
Malaysia Training … Pictures courtesy of Lagardere Sports

Oleh Muhammad Aiman

Skuad kebangsaan tidak pernah menang aksi pembukaan di Piala AFF Suzuki sejak tiga edisi lalu dan Dato’ Ong Kim Swee mahu barisan pemainnya menamatkan badi itu apabila turun menentang Kemboja, Ahad ini.

Menurutnya kemenangan pada aksi pertama adalah cukup penting bagi melonjakkan moral dan motivasi pemain bagi mengharungi baki dua perlawanan menentang Vietnam dan Myanmar yang disifatkan lebih mencabar.

“Ia penting bagi kami menggunakan kelebihan dari kemenangan pertama itu jadi kita perlu ambil peluang ini sebaik mungkin. Kemboja mungkin lawan paling lemah, tetapi kita tidak boleh memandang rendah kebolehan mereka.

“Mereka juga telah persiapkan pasukan lebih lama  dan menguji pasukan dengan lebih kerap, mengharungi 15 perlawanan antarabangsa sepanjang tahun ini sahaja. Jadi saya telah ingatkan mereka untuk tidak mengambil mudah atau kita akan menerima padah,” kata Kim Swee.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang perlawanan pembukaan adalah pada edisi 2008 dengan menewaskan Laos 3-0, namun pada 2010 skuad bimbingan Datuk. K.Rajagobal diaibkan dengan kekalahan 1-5 oleh Indonesia, tewas 0-3 kepada Singapura pada 2012 dan kemudiannya seri tanpa jaringan menentang Myanmar pada 2014.

Kim Swee pada Jumaat membawa pemainnya menjalani sesi latihan pertama skuad Harimau Malaysia di Stadium Thuwunna, Yangon yang akan menjadi gelanggang rasmi perlawanan membabitkan Kumpulan B.

Ia juga merupakan satu-satunya peluang buat mereka menguji keadaan padang kerana tiada latihan rasmi akan diadakan pada Sabtu namun Kim Swee berpendapat ia tidak sepatutnya menjadi masalah besar buat skuad negara.

“Kita pernah bermain di sini menentang Myanmar pada Mei lalu dan mencatat keputusan seri 0-0. Saya percaya kita boleh sesuaikan diri dengan baik. Padang dan cuaca dalam keadaan baik dan saya harapkan situasi sama pada hari perlawanan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee meminta pemainnya agar memberi tumpuan penuh kepada tugasan di Piala AFF Suzuki dan tidak terganggu dengan spekulasi perpindahan membabitkan mereka bagi saingan Liga Malaysia musim 2017.

- Advertisement -