ba-2

Oleh Ku Mohd Lufti

Sistem 11 mata ke atas badminton yang dijangka digunakan pada 2018 bagi menggantikan format 21 mata tampak tidak dipersetujui oleh negara negara Asia.

Malaysia, China, Indonesia, India, Thailand Korea Selatan dan Jepun sepakat mahu kajian menyeluruh dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum mengguna pakai sistem 11 mata.

Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, penggunaan format baru itu perlu mengambil kira pandangan pemain dan jurulatih.

Format tersebut tampak masih belum boleh diterima pakai, malah ia turut menjejaskan prestasi negara negara Asia.

“Negara yang terlibat hari ini perlu membuat satu kajian tentang format terbaru ini sebelum diterima pakai. Pelbagai pendapat mengenai format 11 mata menerusi lima set ini daripada jurulatih, pemain dan peminat sendiri.

“Keputusan penggunaan format baru ini akan diputuskan akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tujuh negara Asia yang dianjurkan Konfederasi Badminton Asia ibu negara.

Tambahnya lagi, BAM akan melakukan kaji selidik melibatkan pemain, jurulatih, serta orang awam tentang penerimaan mereka terhadap format baru itu.

“Pada peringkat awal sistem baharu ini diguna pakai, sudah tentu reaksi pemain tidak begitu baik kerana format itu masih baru buat mereka. Secara keseluruhan buat masa ini, ia masih tidak sesuai,” katanya lagi.

Mesyuarat turut membincangkan tentang penjadualan yang padat termasuk Kejohanan Piala Thomas dan temasya Sukan Olimpik.

“BWF perlu melihat semula jadual perlawanan kerana pemain atau pasukan yang mara sehingga ke separuh akhir kadang-kadang tidak boleh berehat apabila perlawanan berlanjutan sehingga lewat malam.

“Kemudian mereka perlu bermain di final pada sebelah pagi…ini antara faktor pemain tidak dapat cergas sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden BWF, Poul Erik Hoyer Larsen berkata ia adalah penting untuk mendapat persetujuan bersama daripada pihak berkaitan bagi memastikan badminton kekal kompetitif di dunia.

“Jika kita tidak kekal kompetitif dengan sukan lain, kita akan gagal. Kita perlu perbaikinya jika mahu badminton menjadi antara sukan terkemuka dunia,” katanya.

- Advertisement -