Oleh Muhammad Aiman
Dua gol jaringan pemain veteran, Amri Yahyah membantu Malaysia bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Kemboja dalam aksi pembuka tirai Kumpulan B Piala AFF Suzuki sebentar tadi.
Aksi di Stadium Thuwunna, Yangon menyaksikan Kemboja seperti dijangka tidak memberi laluan mudah apabila memanfaatkan kesilapan penjaga garisan dan kesilapan pertahanan Malaysia untuk mendahului menerusi ayam tambatan mereka, Chan Vathanaka pada minit ketujuh dan 64.
Namun jaringan pemain sayap, Syazwan Zainon pada minit ke-38 serta Amri pada minit ke-72 dan 84 menyelamatkan Malaysia dari diaibkan pasukan yang sebelum ini sinonim dengan label skuad belasahan itu. Â Â
Pada perlawanan itu, pengendali Malaysia, Datoâ Ong Kim Swee hanya membuat dua pertukaran dari kesebelasan utama yang diturunkan ketika menentang Papua New Guinea tempoh hari iaitu Khairul Fahmi Che Mat kembali mengambil alih posisi penjaga gol manakala Syazwan Zainon menggantikan Zaquan Adha Abdul Razak.
Skuad negara â finalis 2014 â bermula positif apabila berjaya menguji ketangkasan penjaga gol Kemboja, Sou Yaty menerusi tandukan kencang Amri seawal minit ketiga namun empat minit kemudian ianya Kemboja yang berjaya memecahkan kebuntuan.
Semuanya gara-gara kesilapan penjaga garisan yang mengangkat bendera ofsaid setelah Vathanaka menyambut tolakan ke belakang oleh pemain Malaysia, menyebabkan berlakunya kekeliruan dan peluang itu tidak disia-siakan Vathanaka untuk gol pertama Kemboja meskipun cuba diasak Khairul Fahmi.
Harimau Malaysia kembali mengasak selepas itu dan mencipta beberapa gerakan berbahaya dengan peluang terbaik menyamakan kedudukan hadir menerusi rembatan lemah Darren Lok yang terus ke dakapan Yaty.
Gol yang dinantikan skuad negara hadir pada minit ke-38 setelah Syazwan yang menerima hantaran jauh Irfan Fazail bertindak bijak memperdayakan pertahanan Kemboja dan merembat melepasi jangkauan Yaty untuk kedudukan 1-1 di separuh masa pertama.
Malaysia tampil dengan aksi lebih agresif di babak kedua, hampir sahaja mendahului menerusi rembatan kencang Syazwan yang mengegar palang pada minit ke-47 namun sekali lagi ianya Kemboja yang mendahului menerusi penyudah bergaya Vathanaka, berpunca dari kekalutan barisan pertahanan skuad negara.
Sedar betapa maruah menjadi pertaruhan, Malaysia mengerah sehabis mungkin kudrat dan berjaya mendapatkan jaringan penyamaan lapan minit kemudian setelah Amri menolak masuk hantaran Ahmad Hazwan Bakri dan pemain paling senior dalam skuad kebangsaan itu memastikan tiga mata menerusi penyudah tenang pada minit ke-84.
Ini adalah kali pertama Malaysia memulakan kempen Piala AFF Suzuki dengan kemenangan selepas 2008 dan cabaran lebih getir menanti mereka selepas ini â bakal bertemu pasukan ranking kedua Asia Tenggara, Vietnam (23 November) dan tuan rumah Myanmar (26 November).    Â