Oleh Muhammad Aiman
Sukar untuk menduga sejauh mana pasukan wanita Malaysia yang bakal beraksi di Kejohanan Skuash Berpasukan Dunia Paris bermula Isnin depan, mampu melangkah tatkala mereka pergi ke sana dengan ‘kekuatan yang hilang’.
Ya, kekuatan yang hilang apatah lagi ratu skuash negara yang juga pemain nombor lima dunia, Dato’ Nicol David sedang bergelut dengan prestasi dan belum tentu dijamin dapat menghadiahkan mata.
Justeru, ianya pemain nombor dua negara, Delia Arnold yang menggalas tanggungjawab besar dan harapan tinggi untuk menyerlah dan mampu menterjemahkan prestasi terbaiknya agar sebarang kekurangan disebabkan kemerosotan prestasi Nicol dapat ditampung.
Selain Nicol dan Delia, skuad Malaysia kali ini dibarisi pemain di ranking ke-27 dunia, Low Wee Wern dan pemain remaja terbaik negara ketika ini, S.Sivasangari.
Wee Wern, pemain nombor tiga negara sedang berusaha keras mencari rentak permainan sebenarnya sejak kembali dari kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialami tahun lalu manakala bagi Sivasangari ini penampilan pertamanya di kejohanan besar.
Malaysia yang merupakan pilihan ketiga, dijangka tidak bermasalah melepasi halangan peringkat kumpulan di mana mereka bakal berdepan juara sembilan kali Australia, Belanda dan Austria di dalam Kumpulan C.
Namun cabaran lebih getir menanti di peringkat kalah mati, apabila Delia selaku perseorangan kedua berkemungkinan besar perlu berdepan pemain nombor dua dunia, Nouran Gohar (Mesir), pemain nombor 10 dunia Alison Waters (England) mahupun pemain nombor 20 dunia, Joey Chan (Hong Kong).
Begitupun, Delia yang masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran Terbuka Kebangsaan Ahad lalu, menyatakan kesediaan menggalas tanggungjawab besar tersebut.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan di Terbuka Kebangsaan, sudah tentunya ia satu tonik buat saya menghadapi Kejohanan Dunia. Saya mahu meneruskan rentak ini.
“Ini juga adalah kali pertama saya akan bermain sebagai pemain nombor dua negara, biasanya sebagai nombor tiga, jadi ia adalah satu cabaran baru buat saya,” kata Delia yang membuat penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia pada 2008.
Untuk rekod, Malaysia muncul naib juara pada edisi terdahulu di Kanada 2014. Pasukan yang ketika itu dibarisi Nicol, Wee Wern, Delia dan Vanessa Raj mengejutkan pilihan utama Mesir di separuh akhir namun akur dengan kekalahan kepada England di final.
Sasaran Persatuan Raket Skuash Malaysia untuk edisi kali ini adalah separuh akhir.
Aksi pertama Malaysia di Paris adalah menentang Belanda pada Isnin, diikuti Australia dan Austria.