hockey

Oleh Muhammad Aiman

Skuad hoki negara kecundang 0-5 kepada Australia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Festival Hoki Antarabangsa yang berlangsung di Melbourne sebentar tadi.

Ia adalah kekalahan kedua dalam tiga perlawanan buat Speedy Tigers setelah seri 1-1 menentang New Zealand pada Rabu, dan tewas 2-4 kepada India pada Khamis.

Kedudukan terakhir menyaksikan Australia muncul juara kumpulan dengan sembilan mata, New Zealand di tangga kedua dengan empat mata, dan India di kedudukan ketiga dengan tiga mata.

Dalam aksi final pada Ahad, skuad Kookaburas akan menentang Black Sticks yang menewaskan India 3-2 dalam satu lagi aksi petang tadi manakala Malaysia akan berdepan India untuk klasifikasi tempat ketiga.

Australia, pasukan nombor satu dunia yang sebelum ini melakar kemenangan 3-2 ke atas India dan 3-1 ke atas New Zealand, mendominasi perlawanan dari awal namun hanya berupaya menjaringkan satu gol di separuh masa pertama menerusi Jake Whetton pada minit ke-9.

Mereka tampil lebih garang selepas rehat dan berjaya menambah empat jaringan, sekali lagi menerusi Whett on pada minit ke-43, Scott Boyde (m-51), Aaron Kleinschmidt (m-56) dan Aran Zalewski (m-57).

Jurulatih sementara Australia, Paul Gaudoinber kata: “Ia perlawanan yang menarik dari pada pemain saya. Saya merasakan kita mempunyai banyak peluang menjaringkan gol dan hanya memanfaatkannya di separuh masa kedua.

“Secara defensif, kami telah beraksi dengan baik dan menjelang aksi final menentang New Zealand nanti, perlu ada sedikit penambah baikkan.”

Perlawanan antara New Zealand dan India pula menyaksikan India yang hanya memerlukan seri untuk layak ke final, menyalakan peluang mereka apabila mendahului pada awal suku kedua menerusi Rupinder Pal Singh.

Namun, New Zealand bangkit bergaya di suku terakhir, menjaringkan gol menerusi Nick Ross (m-47), Jacob Smith (m-48) dan Hugo Inglish (m-56) manakala gol Rupinder pada minit terakhir perlawanan sudah terlambat untuk India mencari keputusan seri.

- Advertisement -