Oleh Muhammad Aiman
Hanya beberapa minggu sahaja lagi untuk membuat penampilan sulung mereka dalam Liga Super, segalanya kelihatan masih dalam keadaan kalut buat Melaka United tatkala ketiadaan padang latihan menjadi isu terbaru mengganggu persiapan mereka.
Tatkala pengendali baru, Eric Williams dilihat sudah bersedia mengumpulkan kesemua 26 pemainnya buat kali pertama pada Selasa, hujan lebat yang turun sejak malam Isnin menjadikan keadaan padang di Stadium Hang Tuah terjejas teruk dan tidak sesuai untuk sesi latihan dijalankan.
Dengan padang latihan rasmi pasukan di Padang 10, Paya Rumput masih tidak boleh digunakan manakala Stadium Hang Jebat pula masih dalam pembaikpulihan, situasi ini hadir sebagai satu tamparan besar sekaligus memaksa pengurusan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) untuk segera mencari alternatif lain.
âIanya becak, berlumpur dan terlalu berat, kami tidak boleh bermain di atas padang ini. Saya perlu menilai pemain-pemain baru dan dengan keadaan padang seperti ini, ianya tidak adil buat mereka, terlalu berisiko,â ujar Williams.
Beberapa pilihan lain turut dicadangkan buat sementara, antaranya menggunakan Stadium Tun Fatimah di Bukit Serindit yang merupakan padang tiruan manakala padang semulajadi terbaik lain di negeri itu pula terletak di Institut Latihan Perguruan (Durian Daun) namun mereka tidak dapat menggunakannya.
âPadang itu (Institut Latihan Perguruan) terletak di kampus wanita, jadi lelaki memang tidak dibenarkan masuk. Kami boleh menggunakan Stadium Tun Fatimah untuk sesi pagi, namun penyelesaian perlu segera dicari,â kata Williams lagi.
Menambah pening Williams, dia juga tidak mempunyai walau seorangpun penjaga gol berkredibiliti atau berprofil tinggi untuk dipertaruhkan kerana kesemua tiga penjaga gol musim lalu tidak ditawarkan kontrak baru setelah musim berakhir baru-baru ini.
Ketika ini, bekas penjaga gol PKNS Selangor dan Kuala Lumpur, Norhadi Ubaidillah, Firdaus Mohamed dari Pulau Pinang dan penjaga gawang muda dari Kedah, Syazwan Abdullah adalah tiga pemain yang sedang menjalani latihan dan berada dalam pertimbangan pengurusan.
Menurut Williams, dia mencari seorang penjaga gol yang boleh turut memainkan peranan sebagai âsweeperâ bagi membawa kelainan dan kecenderungannya adalah seorang penjaga gol berpengalaman yang boleh menyesuaikan diri dengan corak permainan mahu diperkenalkannya.
Sementara itu, pemain Malaysia kelahiran Tokyo, Tam Sheang Tsung turut melapor diri di kem Melaka buat pertama kali pada Selasa dan dijangka menandatangani kontrak bersama pasukan itu apabila skuad dimuktamadkan pada 4 Disember.
Pemain berusia 21 tahun itu memilih berhijrah ke Malaysia selepas mengharungi perjalanan karier pendek bersama kelab China Shanghai Shenhua dan kelab Jepun, Gainare Tottori sebelum ini.
Melaka turut mendapatkan khidmat pemain dari Ghana, Godwin Antwi yang sebelum ini beraksi dengan DRB Hicom namun nasib penjaring terbanyak Ilija Spasojevic dan pemain import dari Palestin, Yashir Pinto masih dalam keraguan. Â Â Â