redtone-1

Oleh Muhammad Aiman

Kejohanan Skuash Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur – REDtone 2016 yang akan berlangsung dari 6 – 11 Disember depan, bakal menarik lebih dari 660 penyertaan dari seluruh dunia sekaligus menjadi kejohanan terbesar dianjurkan di Asia sejak 2013.

Selain Malaysia, antara negara lain yang mengambil bahagian adalah Singapura, Indonesia, Jepun, Pakistan, Sri Lanka, Australia, Colombia, Iran, Papua New Guinea serta New Zealand manakala China dan Myanmar menjadi pasukan terbaru untuk menyertai kejohanan edisi kesepuluh ini.  

Hanya India, yang menghantar kontijen besar untuk beraksi di Kejohanan Remaja Asia pada September lalu tidak turut serta dalam kejohanan akan berlangsung di dua venue iaitu gelanggang skuash Jalan Duta dan Pusat Skuash Nasional Bukit Jalil ini.

Pemangku Pengerusi Persatuan Raket Skuash Wilayah Persekutuan (SRAFT), Steven Kwan berkata, “Persiapan untuk menganjurkan kejohanan ini telah dilakukan sejak Jun lalu, terutama dalam mencari penaja emas, perak serta penaja utama dan kami berterima kasih kepada REDtone, juga penaja lain di atas sokongan ditunjukkan.

“Dari segi pengelolaan, gelanggang skuash Jalan Duta telah menjalani pembaikpulihan sejak lima bulan lalu dan saya jangka ia boleh digunakan tepat pada waktunya. Semuanya telah bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan pemain-pemain hebat dari serata dunia.”

Menurut Steven lagi, kejohanan ini telah menjadi platform mengetengahkan beberapa bintang masa depan skuash negara antaranya Ng Eain Yow dan Andrea Lee.

“Eain Yow telah muncul juara remaja dunia di Poland baru-baru ini tetapi kali ini dia tidak akan mengambil bahagian kerana komitmen di luar negara. Andrea pula telah memenangi kejuaraan remaja Asia tiga kali, dan baru-baru ini meraih gelaran professional pertamanya di Hong Kong. Dia adalah juara bertahan bagi kategori B-19 wanita dan akan sekali lagi menjadi pilihan pertahankan kejuaraan.”

Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Son, beliau gembira untuk meneruskan kerjasama dengan SRAFT buat tahun kelima berturut-turut.

“Kerjasama antara REDtone dan SRAFT diperbaharui secara tahunan, tetapi melihat kepada penyertaan yang semakin besar serta populariti yang mencanak dari tahun ke tahun, kami komited mahu meneruskan kerjasama ini bagi satu tempoh panjang. Buat tahun kedua, penyertaan telah melangkaui jumlah 650 peserta jadi sudah tentunya ianya satu perkembangan baik untuk sukan ini.”

- Advertisement -